AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Wednesday, July 7, 2010

Dasar Umno-BN Jadikan Warga Sabah Minoriti Di Bumi Sendiri


PETALING JAYA 7 Julai - Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata sejak menyertai gagasan Malaysia 47 tahun lalu Sabah telah menjadi negeri termiskin di Malaysia kerana dasar pilih kasih dan diskriminasi pentadbiran Umno-Barisan Nasional sehingga menyebabkan rakyat negeri itu menjadi kaum minoriti di negeri sendiri.

Malah Sabah dinafikan hampir kesemua janji pembangunan seperti kemudahan infrastruktur, jalanraya, bekalan elektrik, sistem perpaipan dan kemudahan komunikasi seperti jalur lebar.

Ketika berucap pada forum 'Kemelaratan Warga Sabah Di Lembah Klang' Ahad lalu, Kit Siang berkata sekiranya titik permulaan usaha mengatasi masalah ini tidak dilakukan Sabah bersama Sarawak dikhuatiri akan kekal dalam keadaan yang sedia ada untuk tempoh yang lama.

Hakikat ini tambah beliau dapat dilihat kebenarannya melalui kenyatan pimpinan Umno-BN yang bangga dengan Sabah dan Sarawak yang dianggap sebagai 'simpanan tetap' kuasa politik mereka.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Ipoh Timur menegaskan forum yang diadakan akan menjadi titik permulaan untuk memperdengar rintihan kesusahan dan keperitan hidup warga Sabah di Lembah Kelang dan di Sabah khususnya.

"Sejak penubuhan Malaysia 47 tahun lalu hingga kini adakah semua harapan dan keperluan rakyat Sabah telah ditunaikan ataupun tidak dengan penubuhan Malaysia?

"Kenapa tidak? Ada sebabnya, antaranya dahulu pada tahun 1963, warga Sabah hanya 400,000 dan rakyat Sabah tidak menyangkakan populasi tiba-tiba boleh meningkat dari 400,000 kepada lebih 3 juta pada tahun 2009, seolah-olah warga Sabah adalah 'super producers'.

"Saya juga mendapat tahu ada kajian dijalankan yang mengatakan warga pribumi Sabah kini sudah menjadi kaum minoriti, bukan lagi majoriti akibat pembanjiran warga asing. Rakyat pribumi menjadi warga asing di tanah sendiri" tegas Kit Siang.

Jelas beliau, 47 tahun dahulu semasa penubuhan Malaysia, rakyat Sabah tidak perlu berhijrah ke Semenanjung Malaysia kerana kekayaan sumber asli di Sabah tetapi kerajaan Umno-BN takut warga Semenanjung pula akan berhijrah ke Sabah kerana tertarik dengan kehidupan di Sabah maka mereka telah mewujudkan sekatan imigresen.

"Tetapi kini, anak-anak Sabah terpaksa berhijrah ke Semenanjung Malaysia untuk cari pekerjaan semata-mata mahu mencari makan? Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku, sesuatu yang amat tidak kena berlaku.

"Kalau Sabah dan Sarawak tidak menyokong Umno-BN pada pilihan raya umum dahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sudah menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Najib Razak yang menjadi Ketua Pembangkang.

"Kita dapat lihat Putrajaya tidak memandang serius peranan yang telah dimainkan oleh Sabah dan Sarawak. Memang benarlah kerajaan Umno-BN ada memberikan jawatan penting kepada warga Sabah dan Sarawak seperti Speaker parlimen adalah warga Sabah. Mana ada Speaker pernah dilantik daripada rakyat Sarawak? Timbalan Speaker pula dari Sarawak. Satu dari Sabah, satu dari Sarawak," kata beliau lagi.

Tambahnya, untuk rakyat biasa Sabah dan Sarawak pula, tiada apa-apa keistimewaan yang diberi dan keadaan inilah yang perlu diubah di segi aspek keseimbangan kuasa di Malaysia.

"Apa yang mustahak ialah kita perlu membawa suara rakyat Sabah mengenai masalah mereka, kita perlu menyampaikan mesej ini kepada warga Sabah jika kita mahu menyelesaikkan masalah pokok, khasnya warga Sabah mempunyai tempat yang sewajar di bawah kerajaan Pakatan Rakyat. Rakyat Sabah dan warga lain adalah setara di bawah Pakatan Rakyat dan itu yang penting, jika tidak, keadilan tidak akan dapat dicapai," ulas Kit Siang.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memberitahu peserta forum bahawa daripada jawapan yang diberi di parlimen, industri perkilangan di Selangor masih memerlukan lebih 20,000 pekerja di mana gaji purata pekerja kilang adalah RM1,000.

"Ada juga syarikat yang menawarkan lebih daripada itu semata-mata untuk menarik minat pekerja tempatan. Kita juga tahu ada sebuah syarikat yang memerlukan seorang jurutera yang baru habis belajar dan tanpa pengalaman, dengan gaji permulaan RM2,500 tetapi itu pun sukar diisi.

"Inilah keadaan Selangor pada masa ini di mana rakyat tempatan mula memilih kerja hingga syarikat terpaksa mencari pekerja asing," jelas Theresa.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah pula berkata PAS sedar akan masalah yang dihadapi oleh warga Sabah di kawasan Kota Raja dan beliau sentiasa menghulurkan bantuan sedaya mungkin.

"PAS percayakan keadilan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama. Kita dapat lihat dengan jelas ini merupakan satu polisi yang dikawal oleh kerajaan Umno-BN," kata beliau lagi.

Jelas Dr Siti, pembanjiran warga asing yang melanda Sabah menyebabkan peluang pekerjaan dimonopoli oleh warga asing dan keadaan serupa berlaku di Semenanjung Malaysia hinggakan anak tempatan tidak mampu menyaingi gaji rendah yang diberi kepada warga asing ini.

"Syarikat swasta dengan alasan tiada peruntukan akan menawarkan gaji begitu rendah di mana anak tempatan akan kerugian dan menggunakan peluang ini untuk mengambil warga asing. Bagaimana kita boleh bersaing dengan mereka yang sanggup bekerja untuk gaji murah?

"Inilah petunjuk kerakusan Umno-BN membuat polisi yang membebankan rakyat dengan alasan mahu meningkatkan ekonomi tetapi kebajikan rakyat diabaikan," tegas beliau lagi.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009