AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Thursday, June 3, 2010

Surat Terbuka Tamrin Ghafar Berhubung Isu Judi


Yang Berhormat Dato’ Jamil Khir Baharom
Menteri diJabatan Perdana Menteri
PUTRAJAYA

Assalamualaikum w.b.t.

Segala puji bagi Allah swt, Tuhan Yang Maha Mengasihani dan Menyayangi hamba-hamba-Nya. Dialah Tuhan yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk manusia berbanding manusia itu sendiri.

Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang sangat kasih kepada umatnya. Baginda sentiasa merasa begitu berat melihat penanggungan umatnya di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.

Yang Berhormat Dato’,

Terlebih dahulu saya berdoa agar Allah s.w.t memberi keterbukaan di hati Dato’ sewaktu membaca surat ini seperti mana saya cuba membuka hati saya sewaktu menulisnya. Saya penuh sedar bahawa saya bukanlah insan yang tidak berdosa, tetapi saya yakin Dato’ sedia maklum bahawa dosa-dosa kita sama ada yang terdahulu, kini dan masa akan datang tidaklah wajar menjadi penghalang untuk kita mengingatkan sesama muslim.

Maka atas dasar itulah saya memberanikan menulis surat ini. Rasulullah saw bersabda:
“Barangsiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya; jika tidak mampu, hendaklah dengan lisannya; jika tidak mampu, hendaklah dengan hatinya. Akan tetapi, yang demikian itu (dengan hati) adalah selemah-lemahnya iman.” [HRMuslim]. Dalam riwayat lain disebut, “dan di luar itu, sudah tidak
ada lagi sebutir keimanan pun”.

Surat ini ditulis dengan tujuan menyatakan pendirian saya terhadap isu lesen judi bola sepak yang telah diluluskan oleh Kerajaan baru-baru ini. Mudah-mudahan dengan misi surat ini Dato’ sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan dalam hal ehwal agama, akan memikirkan dan bertindak dengan wajar, bijaksana dan penuh berhati-hati terhadap hak Allah dan hak sesama manusia.

Saya memilih menulis surat ini secara terbuka kerana media cetak dan elektronik aliran perdana lebih berminat membesar besarkan isu seperti pernikahan yang menyalahi undang-undang syarak walaupun ianya telah menepati hukum ALLAH. Mereka seolah-olah mendapat arahan untuk melenyapkan pandangan dan teguran-teguran yang tidak menyokong tindakan Kerajaan meluluskan lesen judi tersebut.
Ini terbukti apabila saya selaku Naib Presiden Pertubuhan Mantan Wakil Wakil Rakyat UMNO ( PAKKU ) mengeluarkan kenyataan akhbar pada 18hb Mei 2010 meminta Kerajaan membatalkan serta merta lesen judi tersebut tidak ada satu pun media cetak dan elektronik aliran perdana mengeluarkan kenyataan tersebut.

Yang Berhomat Dato’,

Sesunguhnya, pertimbangan pengeluaran lesen judi atas alasan untuk mengawal dan mengetahui jumlah wang pertaruhan (seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussien) adalah tertolak di sisi Islam. Dalil pengharaman judi adalah qatie’ dan tidak boleh dipertimbangkan lagi. Kawalan seharusnya tertumpu pada usaha kerajaan menyekat judi yang gelap mahupun terang dengan melipatgandakan modus operandi agensi-agensi penguatkuasaan dan mengenakan hukuman yang lebih berat, bukan ‘menghalalkan’nya. Saya ingin bertanya di manakah letaknya kesahihan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bahawa polis sudah mengenal pasti suspek dan lokasi sindiket judi bola itu? Jika demikian, mengapa tidak dihapuskan kegiatan itu sama sekali? Apakah polis tidak berupaya menghapuskan sindiket-sindiket tersebut? Apakah meluluskan lesen judi tersebut merupakan pendekatan terbaik Kerajaan untuk mengatasi ketidakupayaan polis?

Jika itu alasannya maka mengapa tidak Kerajaan menghalalkan sahaja perkara-perkara haram yang lain seperi pelacuran, pengedaran dadah dan lain-lain kemungkaran atas alasan untuk ‘mengawalnya’ pada masa akan datang?. Kita semua tahu samada lesen lesen judi ujud atau tidak, perjudian tanpa lesen tetap aktif.

Kerajaan seharusnya mesti lebih serius, kreatif dan komited untuk membanteras semua perkara haram itu sama ada melalui kaedah dakwah dan tarbiah (pendidikan) mahupun dengan penguatkuasaan undang-undang. Kita seharusnya berfikir ke arah bagaimana hendak menanganinya mengikut hukum yang telah ditetapkan Allah, bukan mencari jalan yang menyimpang daripada hukum-Nya.

Saya dimaklumkan bahawa kedua-dua mantan Perdana Menteri sebelum ini telah menolak permohonan syarikat tersebut untuk mendapatkan lesen judi ini. Kelulusan lesen judi yang terbaru ini juga menimbulkan persoalan dikalangan ramai apakah keuntungan RM500 juta yang dikaut oleh individu tertentu dalam sekelip mata itu tidak mengalir kepada beberapa pihak lain? Dan apakah ianya juga sebagai ‘pay back’ kepada pihak berkepentingan?

Saya ingin bertanya apakah Yang Berhormat Dato’ selaku Menteri yang bertanggung jawab tentang hal-hal Agama telah turut sama merestui meluluskan lesen judi ini apabila Menteri Kewangan mengemukakan cadangan tersebut. Walaupun jika sekiranya atas sebab-sebab tertentu cadangan tersebut diluluskan tanpa dibincangkan dalam mesyuarat kabinet apakah Dato’ sebagai orang yang jauh lebih arif dari saya tentang hukum ALLAH tidak menyatakan pendirian dan menentangnya habis-habisan?. Rakyat khasnya masyarakat Islam masih ternanti nanti pendirian terbuka Yang Berhormat Dato’ didalam hal lesen judi ini.
Marilah sama-sama kita merenung kembali firman Allah yang telah kita dengar sejak dahulu lagi tentang pengharaman judi ini.

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

Ertinya : Mereka bertanya kepada kamu ( wahai Muhammad ) tentang arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya" ( Al-Baqarah : 219)

Dan juga larangan selanjutnya

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya ; Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji dari perbuatan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. ( Al-Maidah : 90)

Yang Berhormat Dato’

Saya amat terpegun apabila ada teriakan dari organisasi-organisasi bukan Islam termasuk parti DAP yang telah beberapa kali meminta segala bentuk perjudian dihapuskan sama sekali di negara ini di mana Islam adalah agama rasminya. Amatlah memalukan sekali, apabila pada masa yang sama pula Kerajaan yang mana UMNO menjadi tulang belakangnya terus menghalalkan aktiviti yang jelas haram di sisi Islam. Bukankah ini membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO itu sendiri telah melanggar perlembagaan UMNO itu sendiri?

Sehubungan itu, saya menjemput ahli-ahli UMNO menyemak semula buku perlembagaan parti. Di manakah letaknya perjuangan UMNO dalam hal menegakkan Agama Suci ini? Kita patut merasa malu kerana Malaysia adalah merupakan negara yang mempunyai pelbagai jenis lesen judi yang terbanyak di rantau sebelah sini.Percayalah jika ahli ahli UMNO terus mengamalkan sindrom membisu dan mengampu dan pemimpin pemimpinya pula bertindak sesuka hati tanpa mengambil kira hukum ALLAH dan perasaan sebahagian besar masyarakat maka UMNO juga akan menerima nasib yang sama seperti parti parti LDP diJepun, Golkar diIndonesia dan Labour diBritain.

Sebenarnya hati kecil setiap manusia yang cintakan kebenaran dan kedamaian sama ada Islam mahu pun bukan Islam sudah mengakui akan keburukan judi menerusi pengalaman hidup dan juga pemikiran yang waras . Bukankah Islam itu sesuai dengan fitrah manusia?

Sepatutnya kita ‘ berhijrah’ dari yang buruk kepada yang baik, bukan sebaliknya.

Justeru, izinkan saya memetik ucapan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak Perdana Menteri sempena sambutan Maulidur Rasul 1431 H. baru baru ini.
Berikut adalah petikan ucapanya itu :

“Sebenarnya, sifat-sifat kenabian Baginda iaitu sidiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana) merupakan ciri-ciri penting untuk mencapai kecemerlangan dan hendaklah dijadikan inspirasi dan diadaptasi bagi memacu meningkatkan ummah yang progresif. Maka sudah tentulah pemimpin-pemimpin masyarakat, pentadbir, golongan profesional dan seluruh umat umumnya perlulah berusaha memiliki sifat-sifat ini dan mencontohi tingkah laku Rasulullah dalam setiap tindakan dan pekerjaan yang kita lakukan.”

Soalnya, apakah tindakan meluluskan lesen judi tersebut boleh disifatkan sebagai mencontohi tingkah laku Rasulullah s.a.w. Bukankah ianya jelas bercanggah dengan saranan yang diucapkanya itu. Bagaimana hendak membolehkan anak ketam berjalan lurus sedangkan bapanya berjalan senget.

Yang Berhormat Dato’,

Pada kesempatan ini juga saya ingin mengingatkan bahawa satu kemungkaran boleh menjadi ‘mata rantai’ kepada kemungkaran yang lain. Justeru, judi atas apa jua jenis dan bentuknya akan menyebabkan berlakunya beberapa keburukan yang berikut:


i) KUCAR – KACIRNYA INSTITUSI RUMAH TANGGA

Akan berlaku krisis antara suami isteri akibat habisnya wang belanja keperluan rumah untuk berjudi. Anak-anak akan menderita akibat krisis rumah tangga.

ii) BELENGGU HUTANG

Orang yang berjudi tidak pernah senang. Ramai yang terpaksa berhutang kerana memburu kemenangan yang tidak pernah datang. Tidak mustahil ada yang akan kembali mencari Along untuk berhutang.

iii) PERJUDIAN SECARA ONLINE OLEH KANAK-KANAK

Ia sudah pasti akan mendorong kanak-kanak di bawah umur turut terlibat tanpa dapat diawasi
oleh ibu-bapa mereka, apatah lagi kalau ibu-bapa mereka sendiri terlibat. Duit ibu bapa akan di curi jika mereka tidak mencuri di luar. Dalam erti kata yang lain ianya akhirnya akan mendorong kanak-kanak menjadi pencuri dan lain-lain kegiatan tidak bermoral. Sebagai bukti seperti mana yang tersiar dibeberapa akhbar baru baru ini seorang penuntut di Kelang, Selangor berjudi bola sepak antarabangsa melalui online telah mengakibatkan keluarga beliau kerugian RM8 juta. Beliau mula bermain judi tersebut pada umur 16 tahun. Itu baru hanya satu kes sahaja yang dilaporkan.


iv) KUALITI DAN PRODUKTIVITI MENURUN

Budaya berjudi akan menyebabkan kelembapan dalam kerja dan usaha kita dalam usaha menjadi negara maju dengan acuan tersendiri. Kalau dulu ada yang leka menonton bola sepak secara keterlaluan, kini keadaan bertambah buruk apabila ketagihan judi bola sepak pula menular. Dan ada yang mula terbiasa dengan cara mencari keuntungan secara singkat dan cepat tanpa usaha dan mempertingkatkan kemahiran diri.

Saya khuatir jika sekiranya Kerajaan terus bertindak dengan rancanganya hendak menghapuskan segala bentuk sabsidi yang dinikmati rakyat selama ini ianya akan memaksa lebih ramai rakyat berpaling kepada perjudian sebagai jalan terdekat mengatasi maasalah kehidupan harian mereka.

Hakikatnya yang untung dalam hal perjudian ini amat kecil dan oleh segelintir individu yang kecil pula. Yang rugi dan menderita akhirnya kelak terlalu ramai di samping kita mendapat kemurkaan Allah.

Itulah beberapa hikmah mengapa judi diharamkan Allah swt. Ia adalah hukum yang telah disepakati secara Ijmak' oleh para ulama. Malangnya tidak ramai tokoh agama seperti Mufti Perak yang berani menegur secara terbuka tindakan Kerajaan ini. Umat Islam tertanya tanya mengapakah Majlis Fatwa Kebangsaan membisu seribu bahasa dalam perkara yang amat penting ini sepertimana mereka membisu dalam isu Kerajaan membayar RM77 juta kepada Apco, sebuah syarikat Zionis Yahudi yang mana seluruh dunia tahu mereka terus membunuh dan melakukan berbagai jenis kekejaman terhadap umat Islam di bumi Palestin dan merampas Tanah Suci Baitul Muqaddis. Lihatlah apa yang sedang dilakukan oleh regim Israel terhadap misi bantuan kemanusian di Gaza.

Lihat saja pasport antarabangsa kita, hanya sebuah negara saja yang kita rakyat Malaysia tidak boleh lawati ia itu Israel. Apakah mereka ( Majlis Fatwa Kebangsaan ) juga berfungsi seperti media cetak dan elektronik aliran perdana yang seolah-olah telah mendapat arahan tidak resmi untuk menenggelamkan isu judi ini.

Justeru, dengan rendah hati saya merayu agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama melalui Majlis Raja Raja memainkan peranan agar segala bentuk lesen perjudian dibatalkan serta merta. Yang Berhormat Dato’ saya sering mengingatkan diri saya sendiri pangkat, kedudukan dan kemewahan di dunia ini adalah sementara sahaja. Kita semua akan menghadapi-Nya jua suatu masa nanti. Semua pihak tidak kira siapa pun akan dipertanggung jawabkan di mahkamah Allah Khadi Rabbul Jalill.

Saya yakin kita sama-sama akan berpegang kepada peringatan Allah melalui firman-Nya:
“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidah mu secara dusta ‘ini halal dan ini haram’, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengadakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung” ( An Nahl : 116 )

Akhir sekali, saya memohon agar Yang Berhormat Dato’ memikirkan juga apakah akibat yang akan berlaku jika kemungkaran judi ini diteruskan oleh pihak yang berkuasa. Saya, Dato’ dan kita semua tidak mahu azab Allah ( bala petaka ) turut terkena ke atas Malaysia yang tercinta ini kerana kealpaan dan kederhakaan kita.
Sabda Nabi SAW,

“Allah tidak menghukum suatu bangsa kerana kesalahan beberapa orang di antara mereka, sampai mereka melihat kemungkaran (dilakukan) di antara mereka, sedangkan mereka mampu menghentikannya, tetapi mereka tidak menghentikannya. Apabila mereka berbuat seperti itu (tidak menghentikan kemungkaran), maka Allah akan mengazab (orang yang melakukan kemungkaran) secara khusus dan (bangsa itu) secara keseluruhan” [HR Ahmad].

Saya akan bersama sesiapa sahaja sama ada individu mahu pun mana- mana organisasi yang menentang segala bentuk perjudian di negara tercinta ini walaupun ianya akan mengundang perbagai kritikan dan tindakan daripada mereka yang berkepentingan. Saya berdoa agar seluruh rakyat sama ada Islam mahu pun bukan Islam tanpa mengira pangkat dan kedudokan dan fahaman politik bangkit bersama menentang sekeras-kerasnya kemungkaran judi ini kerana ianya juga suatu yang amat jelas yang dituntut oleh Agama. Bertindaklah sebelum terlambat.

Untuk Yang Berhormat Dato’, saya doakan agar segala tindakan Dato’ berhubung isu lesen judi ini diberkati Allah s.w.t kerana Dato’ juga tidak akan terlepas daripada soalan Munkar dan Nankir seperti saya dan semua yang lain.

Saya ucapkan terima kasih atas kesudian Yang Berhormat Dato’ membaca seterusnya meneliti isi surat saya ini. Semoga Allah mengurniakan taufik dan hidayah buat kita untuk menjalankan amanah-Nya sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Amin.

Sekian. Wassalam.

Yang Ikhlas,

TAMRIN TUN GHAFAR


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009