AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Friday, June 18, 2010

Kes Auku: Mahkamah Lanjutkan Injunksi Inter Parte Terhadap UKM


KUALA LUMPUR 18 Jun - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam melanjutkan injunksi 'inter parte' bagi menghentikan tindakan tatatertib ke atas empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia yang didakwa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti bagi kesalahan penglibatan mereka dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor April.

Keempat-empat mahasiswa tersebut, Muhammad Hilman Idham, Muhammad Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Mohamad Adzha dan Woon King Chai, didakwa di bawah Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 seksyen 15(5)(a) yang menyatakan tiada pelajar untuk apa sebab sekalipun boleh menyatakan sokongan, bantahan atau simpati dengan mana-mana parti politik samada di dalam atau di luar negara.

Pendengaran diteruskan di dalam kamar di Mahkamah Tinggi Rayuan 2 di hadapan hakim Aziah Ali dan peguam mahasiswa, Ashok Kandiah dan Haris Ibrahim, serta wakil daripada defendan iaitu Datuk Muhammed Shafee Abdullah yang mewakili UKM, dan Aida Adha mewakili Kerajaan Malaysia beserta Menteri Pengajian Tinggi.

Pendengaran semalam memihak kepada mahasiswa terbabit dengan hakim membenarkan injunksi dilanjutkankan sehingga perbicaraan tamat.

Ini bermakna pihak UKM tidak boleh meneruskan apa-apa tindakan berkaitan isu ini selagi masih dalam perbicaraan.

"Saya dan rakan-rakan saya berasa gembira hari ini kerana hari ini kami menang lagi, membuktikan keadilan dan kebenaran di pihak kami. Dengan keputusan hakim memberikan injunksi 'inter parte', maka kami boleh kembali meneruskan pengajian tanpa bimbang tindakan pihak UKM.

"Kemenangan hari ini mendekatkan lagi kami kepada tujuan utama kami berjuang, iaitu mendapatkan keputusan mahkamah mengatakan Seksyen 15(5) bercanggah dengan Perlembagaan dan diputuskan tidak sah. Sehingga itu, kami akan teruskan usaha kami," tegas Hilman.

Dalam hal berkaitan, keluarga Hilman menerima sepucuk surat berdaftar daripada UKM yang ditujukan kepada Hilman yang menyatakan jawatan Hilman sebagai Yang DiPertua Kelab Sains Politik telah digantung atas sebab melanggar Perenggan 52(7) Perlembagaan UKM.

Kandungan surat tersebut menyatakan, "Saudara tidak boleh memegang jawatan dan tidak boleh mengadakan apa-apa aktiviti sebagai Yang DiPertua Kelab Sains Politik UKM berkuatkuasa 2 Jun 2010 sesuai dengan Perenggan 52(7) Perlembagaan UKM yang menyatakan,

".. tiada seorang pelajar pun yang prosiding tatatertibnya masih belum selesai, atau yang telah didapati bersalah atas satu kesalahan tatatertib boleh dipilih atau kekal dalam jawatan Majlis Perwakilan Pelajar atau pegang jawatan dalam mana-mana badan atau jawatankuasa melainkan dengan kebenaran bertulis oleh Naib Canselor."

Sehubungan itu King Chai berkata memandangkan kesemua mereka mempunyai jawatan dalam Majlis Tertinggi Kelab Sains Sosial UKM, kemungkinan besar meerka juga akan mendapat surat yang sama.

"Walaupun kami tidak akan dibenarkan menyandang jawatan dalam mana-mana persatuan atau kelab, tetapi ini sama sekali tidak akan menjejaskan pembelajaran kami dan semester lalu, keputusan kesemua kami cukup memberangsangkan dengan semua mendapat CGPA melebihi 3.0," tambahnya lagi.

Pendengaran kes ditangguhkan kepada 9 Julai depan.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009