KUALA LUMPUR 16 Jun - Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengalu-alukan usaha MCA untuk menjadi perantara bagi menyelesaikan isu perlesenan runcit dengan Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia.
Beliau berkata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mampu membantu kementerian menangani masalah itu dengan menemui para peniaga terbabit.
"Seramai 15,000 peniaga sudah memohon lesen menjual barangan keperluan, maka ia sepatutnya tidak menjadi masalah kepada pengguna untuk membeli barangan terbabit atau kekurangan bekalan," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen.
Peniaga-peniaga yang menganggotai Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia akan berhenti menjual gula, minyak masak dan tepung gandum mulai hari ini kerana tidak setuju dengan langkah kerajaan memperkenalkan lesen runcit untuk tiga barangan kawalan itu.
Presidennya Lean Hing Chuan berkata persekutuan itu telah mendapat persetujuan daripada kebanyakkan persatuan peruncit Cina yang dianggarkan berjumlah 20,000 peruncit dari seluruh negara.
"Kita akan mula berhentikan penjualan barang itu mulai hari ini kerana semalam adalah hari terakhir kita akan jualkan semua barang itu sehingga habis," katanya.
Lean berkata peruncit termasuk dari Sabah dan Sarawak juga menyokong boikot itu kerana mereka semua beranggapan penjualan ketiga-tiga barangan tersebut tidak memberi keuntungan yang banyak.
Ditanyakan mengenai kesan tindakan mereka, beliau berkata mereka tidak akan kerugian kerana penjualan barangan berkenaan tidak menjejaskan mereka dan menguntungkan serta membebankan peniaga terbabit.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment