Mengira hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim meminta agar rakyat di negeri ini berbelanja secara berhemah ekoran tekanan ekonomi hari ini yang semakin meruncing.
Khalid mengingatkan bukan sahaja sikap boros dan pembaziran tidak dipandang elok di sisi agama, bahkan ia akan mengundang beban kewangan yang lebih berat pada hari-hari mendatang.
Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Hari Raya Anak-anak Yatim dari sekitar Pelabuhan Klang di kawasan perkarangan Masjid Ar-Rahman, Pandamaran Jaya semalam.
“Rakyat yang beragama Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri, kemudian menyusul antara lainnya perayaan Deepavali, Christmas dan Tahun Baru Cina, dalam hubungan ini memang menjadi kebiasaan bagi kita, rakyat Malaysia berbelanja lebih bagi menyambut satu-satu perayaan.
“Oleh itu pada kesempatan ini, izinkan saya untuk mengingatkan tuan-tuan dan puan-puan agar berusaha mengamalkan tabiat berjimat yakni tidak boros serta tidak melampaui batas ketika membeli-belah sebagai persediaan menyambut perayaan," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 50 orang anak yatim.
Kepada anak-anak kecil dan muda belia, Khalid menyeru supaya amalan berjimat-cermat dan tabiat menabung perlu dibudayakan, bermula dengan sumbangan-sumbangan raya yang diterima ketika meraikan Aidilfitri nanti.
Bagi ibu bapa khususnya, beliau berkata krisis ekonomi yang melanda dunia amat membimbangkan sehingga pakar antarabangsa sendiri tidak berani meramalkan tarikh berakhirnya krisis ekonomi ini.
Dalam pada itu, Khalid mengingatkan pengurusan dalam perbelanjaan seharian adalah penting dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak.
“Akibatnya, kalau kita tidak bersedia, kita akan menanggung pembiayaan yang semakin membebankan. Di negara kita, impak ekonomi yang tidak menentu, kita terpaksa mengeluarkan wang yang lebih kerana terpaksa membayar barang dan perkhidmatan yang semakin mahal malahan barangan terkawal seperti gula, telor ayam, tepung dan bawang putih yang mahal sudah itu pun dilaporkan semakin sukar diperolehi.
“Dua minggu ini pula, harga petrol RON95 dan RON97 dinaikkan dan yang nyata kenaikan harga barang dan keperluan perkhidmatan ini semakin membebankan kehidupan rakyat terutamanya kepada mereka yang berpendapatan di bawah RM1500 sebulan," katanya.
Khalid menambah, dengan kenaikan harga minyak yang telah diumumkan oleh kerajaan pusat tersebut sebelum musim perayaan telah membebankan rakyat dan sekali gus tidak mencerminkan keprihatinan Barisan Nasional terhadap slogan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.
Sumber: tvantara.com
0 comments:
Post a Comment