AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Thursday, September 3, 2009

Khalid cabar Hishammuddin bersemuka

KUALA LUMPUR, 3 Sept: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad mencabar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersemuka dengannya jika beliau benar-benar tidak memihak dalam menangani isu protes mengarak serta memijak-mijak kepala lembu di Shah Alam 28 Ogos lalu.

"Kalau betul Hishammuddin bersikap berkecuali, saya akan tunggu untuk beliau menjemput saya hadir berjumpa dengannya supaya pandangan semua pihak boleh didengar dan diambil kira," kata beliau.

Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam melahirkan rasa kesalnya dengan tindakan Hishamuddin bersimpati dengan penunjuk perasaan mengheret, memijak dan meludah kepala lembu tempoh hari.

Beliau menyifatkan menteri itu seolah-olah mengiakan tindakan mencerca agama lain untuk tujuan politik.

Hishammuddin dilaporkan telah mengadakan dua pertemuan tokoh-tokoh Umno termasuk dari Seksyen 23 Shah Alam dan wakil-wakil NGO Melayu.

Mereka dilaporkan sebagai "peserta" tunjuk perasaan yang dianggap menghina penganut agama Hindu itu.

Selepas pertemuan yang kedua dengan kumpulan itu, Hishammuddin memuji-muji mereka sambil meyifatkan mereka sebagai bijaksana.

"Sikap proaktif penduduk Seksyen 23 dengan Pertubuhan Hindu Sanggam merupakan satu tindakan bijaksana yang berasaskan pertimbangan, kerjasama dan persefahaman.

Image"Saya akan pantau dengan dekat perbincangan ini dan mereka mungkin sedang mencari lokasi lebih sesuai yang boleh mewujudkan satu keadaan menang-menang," katanya kepada pemberita selepas pertemuan kira-kira sejam dengan kumpulan itu.

Beliau juga mendakwa, isu cadangan pembinaan kuil itu akan selesai selepas penduduk di situ mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Hindu Sanggam.

Tidak ada laporan yang menyatakan bahawa penduduk beragama Hindu di Shah Alam bersetuju Hindu Sanggam mewakili mereka.

Mengulas mengenai rasa tidak puas hati pelbagai pihak terhadap perbuatan mengarak dan memijak-mijak kepala lembu dalam tunjuk perasaan membantah pembinaan kuil di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) itu, beliau berkata, penggunaan kepala haiwan bukan perkara baru.

Ini kerana, kata Naib Presiden Umno itu lagi, terdapat insiden kepala babi digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk membalutnya dengan bendera Umno dan meninggalkan kepala babi itu di hadapan bangunan Umno.

Dalam pertemuan itu, kumpulan yang dilaporkan sebagai peserta tunjuk perasaan itu diketuai oleh pengerusi jawatankuasa bertindak membantah pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam, Mahyuddin Manaf

Mahyuddin sebelum ini dilaporkan mendakwa beliau seorang ahli PAS.

Mengulas dakwaan itu, Khalid dengan sinis berkata: "Biasalah, pada masa ini siapa sanggup mengaku dirinya ahli Umno?"

Tidak lama selepas dakwaan Mahyuddin itu, beliau dilaporkan pernah menjadi Bendahari Pemuda Umno Shah Alam.

Laman-laman blog juga menyiarkan gambar salah seorang peserta tunjuk perasaan itu yang kini dipersoalkan adakah beliau Ketua Umno Bahagian Shah Alam sendiri, Datuk Ahmad Nawawi Md Zin.

Laporan juga menyatakan, penunjuk perasaan yang mengarak serta memijak-mijak kepala lembu itu ialah adik kepada Ahmad Nawawi sendiri, Azmir.

Azmir dilaporkan sebagai Ketua Penaja Umno Cawangan Seksyen 23.

Dalam tunjuk perasaan itu, mereka yang disebutkan sebagai "barbarian at the gate" oleh Datin Paduka Marina Mahathir dalam blognya itu telah berarak menyatakan bantahan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kebajikan negeri Rodziah Ismail dan exco kesihatan Dr A Xavier Jayakumar.

Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada Khalid.

Didahului dengan pembawa kepala lembu yang masih belum kering darahnya, penunjuk perasaan itu berjalan sambil bertakbir dan melaungkan "kami bantah" menggunakan alat pembesar suara.

Mereka membawa sepanduk, antaranya bertulis "Take beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya" dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22".

"Mana Xavier? Kami ada kepala lembu untuk dia," jerit seorang penyokong, setibanya di pintu masuk bangunan kerajaan tersebut yang segera ditutup kerana kehadiran mereka.

Polis yang berada di situ hanya memerhatikan sahaja perbuatan kumpulan itu.

Sumber: Harakah Daily

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009