Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam enggan menerima sapina yang mewajibkannya memberi keterangan di mahkamah dalam siasatan kes kematian K Sujatha kerana menganggapnya tidak kena pada cara dan tempatnya.
Manikavasagam berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan polis cuba menyerahkan sapina itu di Parlimen.
“Ini bukanlah tempat untuk menyerahkan sapina. Mereka tahu di mana rumah saya dan pejabat saya. Mereka boleh menyerahkan sapina di sana, tetapi bukan di Parlimen.
“Walaupun saya seorang yang sibuk dengan urusan saya, namun saya mempunyai pejabat dan pihak polis dialu-alukan datang ke pejabat saya bila-bila masa. Saya tidak takut kerana saya mempunyai bukti-bukti bersama saya,” kata Manikavasagam.
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana enggan menerima sapina berkenaan.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat itu diminta hadir memberi keterangan dalam satu siasatan khas yang diadakan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Koroner Mohd Faizi Che Abu mengeluarkan waran tangkap itu selepas beliau diberitahu polis bahawa Manikavasagam enggan menerima sapina berkenaan.
Sujatha, 28, adalah setiausaha peribadi kepada S Vell Paari, anak kepada Presiden MIC S. Samy Vellu. Mendiang diisytihar mati di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah selepas meminum racun paraquat.
Sujatha menjadi tajuk utama akhbar berbahasa Tamil selepas Manikavasagam memfailkan laporan polis mengaitkan Vellpaari dalam kematian Sujatha, tahun lalu.
Laporan polis itu difailkan selepas Manikavasagam menerima sepucuk surat layang yang mendakwa anak pemimpin MIC itu terbabit dalam kematian Sujatha.
Manikavasagam bagaimanapun mengkritik keras kelembapan pihak polis yang hanya menyiasat kematian Sujatha hanya selepas sebulan laporan beliau difailkan.
Siasatan polis setakat ini mendapati Sujatha menghubungi Vell Paari sejurus sebelum meminum racun paraquat – sejenis racun pertanian yang disenaraikan dalam senarai barang kawalan.
Vell Paari kemudiannya membawa Sujatha ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah di Klang walaupun Hospital Kuala Lumpur lebih hampir dengan rumah mendiang.
Pegawai Perubatan Dr K. Saravanan hari ini mengesahkan bahawa pihak hospital tidak melakukan sebarang bedah-siasat ke atas tubuh mendiang.
Saravanan mengarahkan pembantu hospital mengeluarkan tubuh mendiang tanpa sebarang bedah siasat dibuat walaupun pihak polis telah mengeluarkan arahan supaya bedah-siasat dilaksanakan.
Sumber: tvantara.com
0 comments:
Post a Comment