SHAH ALAM, 1 April - Pendengaran Awam Terbuka membabitkan isu Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) berakhir hari ini di mana Ketua Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) diminta hadir semula memberi keterangan pagi tadi.
Datin Khairiyah Abu Hassan yang menjadi saksi terakhir pendengaran awam hari ini memberitahu Jawatankuasa Pilihan Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) bahawa PNSB telah membelanjakan kira-kira RM1.7 juta untuk lawatan teknikal melibatkan bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo ke Disneyland, Paris dan Disney World di Florida.
Menurutnya, Dr Khir selaku pengerusi PNSB ketika itu turut membawa isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik yang juga Yang Dipertua Balkis bersama tiga anak, pegawai lain dan seorang pembantu rumah.
Khairiyah dalam keterangannya turut mendedahkan, sebanyak RM420,000 telah digunakan untuk satu ‘lawatan teknikal’ ke Morocco (Maghribi) dan Disneyland, Paris pada 17 hingga 24 Disember 2004.
Beliau berkata PNSB juga turut membelanjakan RM366,000 untuk satu perjalanan pasukan pemerhati bagi meninjau tempat-tempat berkenaan sebelum delegasi Dr Khir melawat ke dua-dua tempat tersebut.
Teng Chang Khim selaku Pengerusi Selcat, bagaimanapun mempersoalkan kewajaran lawatan ke Disneyland yang disifatkan lebih kepada mengisi masa lapang semata-mata ekoran mereka yang menyertai lawatan itu tidak bertemu pasukan pengurusan Disneyland sebaliknya hanya menggunakan khidmat pemandu pelancong untuk mendapatkan pengetahuan teknikal berkaitan taman tema tersebut.
“Lawatan ke Disneyland lebih kepada memperolehi pengetahuan teknikal bagi membangunkan satu taman tema serupa di Bagan Lalang, Sepang,” kata Khairiyah ketika menjawab pertanyaan itu. - MURIZA ABDUL HAMID
Sumber: selangorkini.com.my
0 comments:
Post a Comment