SUNGAI LALANG, 4 April (Hrkh) - Calon KeADILan bagi pilihan raya kecil Dun N.25 Bukit Selamabu, S.Manikumar melancarkan Piagam Calon dengan mengemukakan lapan perkara yang bakal dilaksanakan beliau sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat pada 7 April ini.
Dalam piagamnya itu, beliau berjanji akan membuka Pusat Khidmat Rakyat dalam tempoh 48 jam selepas dipilih sebagai wakil rakyat.
"Pusat ini akan dilengkapkan dengan kemudahan komunikasi untuk membolehkan wakil rakyat dihubungi 24 jam tip-tiap hari," katanya dalam sidang media di Bangunan Yayasan Aman di sini semalam.
Beliau juga akan melancarkan Plan Tindakan Wakil Rakyat dalam tempoh 100 hari pertama selepas terpilih sebagai wakil rakyat meliputi aspek ekonomi,kemasyarakatan, agama, hubungan kaum, pendidikan, keselamatan masyarakat dan kebajikan.
Selain itu, beliau juga berjanji untuk berusaha membendung peningkatan kadar jenayah, menggerakkan program pemartabatan kuasa rakyat dan meningkatkan kemudahan asas dalam kawasan.
Sesuai dengan manifesto negeri berkebajikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat, beliau juga akan memberikan tumpuan kepada golongan warga emas, Orang Kurang Upaya, anak yatim dan ibu tunggal dalam program kebajikan.
"Saya juga akan menawarkan khidmat kepada semua kaum tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, anutan, kepercayaan dan kecenderungan politik. Masyarakat akan dilibatkan sebagai rakan kongsi dalam perjuangan," jelasnya lagi.
Dalam piagamnya itu, beliau turut berjanji untuk menumpukan kepada bidang pendidikan sebagai instrumen dalam perubahan masyarakat.
Justeru pusat tuisyen percuma akan diwujudkan khusus bagi pelajar-pelajar miskin cemerlang dari kalangan keluarga yang kurang berada. - mks._
Sumber: harakahdaily.net
0 comments:
Post a Comment