Anna Yusof
PUTRAJAYA, 14 April (SK) : Mahkamah Persekutuan memutuskan hari ini bahawa Menteri Besar Perak Barisan Nasional, Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco telah menggunakan prosedur yang betul untuk mencabar penggantungan mereka oleh Speaker Dun, V Sivakumar Februari lalu.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menetapkan hari ini untuk memberikan keputusan sama ada Menteri Besar Perak, BN itu dan enam anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah menggunakan cara yang betul untuk mencabar penggantungan mereka oleh Sivakumar.
Zambry dan enam orang exco kerajaan memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Sivakumar yang menggantung mereka selepas BN menubuhkan kerajaan negeri di Perak Februari lalu tanpa pembubaran Dun.
Presiden Mahkamah Rayuan, Alauddin Md Sheriff, yang mengetuai panel lima orang hakim, berkata ia boleh mendengar perkara itu secara membuat permohonan dan bukannya melalui semakan kehakiman.
Peguam yang mewakili Sivakumar, Sulaiman Abdullah, mengemukakan bantahan awal bahawa mahkamah tidak patut melayani permohonan mereka kerana saman terhadap Sivakumar tidak mematuhi prosedur.
Sulaiman berhujah semalam bahawa Zambry dan enam pemohon tersebut sepatutnya membuat permohonan secara semakan kehakiman dan bukannya melalui saman asal untuk mendapatkan beberapa pengisytiharan.
Beliau berhujah bahawa mahkamah tidak sepatutnya melayani permohonan Zambry untuk merujuk kes berhubung isu perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan kerana saman itu masih menungggu perbicaraan di Mahkamah Tinggi bagi keputusan permohonan Sivakumar untuk menggugurkan saman itu.
Zambry digantung selama 18 bulan manakala enam exconya digantung selama setahun.
Pada 2 Mac lalu, Zambry dan enam anggota majlis berkenaan Zainol Fadzi Paharuddin, Ramly Zahari, Hamidah Osman, Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Dr Mah Hang Soon memohon kepada Mahkamah Tinggi bagi diisytiharkan yang keputusan Sivakumar menggantung mereka daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri adalah tidak sah dan batal.
Sumber: suarakeadilan.com
0 comments:
Post a Comment