AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Monday, May 7, 2012

Saya dibelasah teruk kerana dituduh pukul polis

SHAH ALAM: Seorang anggota Unit Amal PAS, Mohd Fahmi Mohd Noor mendakwa beliau dipukul ketika ditahan pihak polis dan sepanjang perjalanan ke Dataran Merdeka sebelum dibawa menaiki trak polis.

Fahmi mendakwa beliau ditahan kira-kira jam 4.30 petang di persimpangan lampu isyarat di hadapan bangunan Sime Darby di Jalan Raja Laut ketika sedang mengarahkan peserta Bersih 3.0 beredar dan tidak menimbulkan sebarang tindakan yang boleh menaikkan kemarahan pihak polis.

Menurut Fahmi, beliau ketika itu dalam posisi membelakangi polis menyebabkan beliau tidak sedar bahawa polis sudah menghampiri beliau menyebabkan beliau ditangkap walaupun pada waktu itu beliau sedang mengarahkan peserta bertenang serta beredar.

"Saya sedang mengarahkan agar peserta tidak melakukan provokasi saya pula ditangkap.

"Dalam perjalanan ke Dataran Merdeka ketika melalui kaki lima saya telah dipukul oleh pihak polis termasuk ditendang malah terdapat di antara mereka mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Menceritakan insiden itu lebih lanjut, Fahmi berkata, ketika ditahan beliau sempat bertanya kepada polis samada beliau sedang melakukan provokasi ataupun mengawal keadaan.

Namun salah seorang anggota polis itu ada mengatakan memang tiada provokasi dilakukan oleh beliau tetapi beliau harus juga ditangkap.

Beliau kemudian dibawa ke Dataran Merdeka bersama kumpulan lain yang lebih awal ditangkap.

"Jarak perjalanan agak jauh dan saya sendiri tidak pasti berapa kali dipukul, malah ketika sudah hampir di Kelab Di Raja Selangor saya sekali lagi dipukul oleh empat orang polis, disepak dan menyebabkan saya jatuh," ceritanya lagi.

Fahmi memberitahu setelah dipukul, beliau diletakkan bersama-sama dengan tahanan yang lain termasuk dengan bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Abdul Aziz Bari.

"Ketika saya duduk bersama-sama tahanan yang lain, terdapat seorang anggota polis menjerit dan mengatakan saya telah memukul anggota polis, tindakan tersebut menyebabkan saya sekali lagi ditarik dan dibawa ke belakang trak polis sebelum dibelasah teruk oleh sembilan orang anggota polis.

"Ketika itu saya dipukul dengan teruk termasuk dipijak di perut, ditendang di bahagian dada dan belakang. Saya telah ditumbuk menyebabkan cermin mata saya telah jatuh.

"Dalam keadaan samar akibat kehilangan cermin mata saya cuba mengambil semula cermin mata tersebut tetapi salah seorang anggota polis telah memijak cermin mata saya sehingga pecah, saya dipukul dengan teruk tanpa ada belas kasihan langsung oleh pihak polis," sambung beliau lagi.

Sewaktu dipukul, beliau juga mendakwa ada mendengar Aziz Bari merayu meminta polis berhenti memukul beliau.

Akibat dibelasah beramai-ramai itu, Fahmi mengalami kecederaan di bahagian muka, dada dan belakang.

Tidak lama kemudian, beliau bersama tahanan yang lain dibawa ke Pulapol untuk diambil keterangan.

Ketika memberi keterangan pula, Fahmi mendakwa  polis hanya mengambil maklumat peribadi sahaja tanpa bertanya apa yang berlaku terhadapnya sebenarnya.

Beliau yang baru enam bulan menyertai Unit Amal Shah Alam itu kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada hari Isnin 30 April sebelum membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang juga pada hari yang sama.

"Biarlah apa yang polis lakukan terhadap saya itu diadili oleh Allah dan saya tidak mempunyai apa-apa dendam dengan mereka.

"Cuma yang paling menyentuh perasaan saya ketika saya diarahkan menanggalkan beret yang dipakai oleh saya dan saya sendiri tidak mengetahui apa alasan sebenarnya polis suruh saya tanggalkan beret tersebut," katanya.


Sumber: Harakahdaily.net

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009