Arkib Blog

Monday, May 7, 2012

5,422 pengundi tak ikut kod kelahiran

KUALA LUMPUR, 7 Mei: Berdasarkan daftar pemilih bagi suku pertama 2012 yang dipamerkan, PAS mengenalpasti 5,422 pengundi yang kad pengenalannya tidak mengikut kod kelahiran yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata hasil penelitian dari daftar pemilih yang dipamerkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga jam satu pagi, semalam, pihaknya mendapati kod kelahiran pada sejumlah nama itu tidak sama seperti ditetapkan di JPN.

Beliau berkata, JPN mempunyai kod-kod kelahiran khusus membabitkan negeri seperti 14 bagi Wilayah Persekutuan, dan kod-kod lain bagi negeri lain, sedangkan beliau menemukan kod kelahiran seperti 70, 76, 74, 62, 66, 85 dan lain-lain.

Bercakap ketika sidang media di Pejabat Agung PAS, hari ini, Ahli Parlimen Pokok Sena itu memberikan beberapa contoh, seperti kad pengenalan yang bernombor 890327665045 yang dimiliki Lim Jain Zao.

"Kod 66 itu tidak terdapat dalam kod kelahiran yang tersenarai atau ditetapkan JPN.  Persoalannya, di negeri manakah pemegang IC ini lahir?" soal beliau, sambil mendakwa kemungkinan mereka merupakan warga asing yang didaftarkan SPR sebagai 'pendaftaran baru'.

Mahfuz menambah, biarpun nama-nama terbabit terdapat dalam sistem JPN, SPR sebagai sebuah badan bebas sewajarnya mempersoalkan kod kelahiran yang janggal itu kepada JPN.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan senarai daftar pemilih yang dikatakan mempunyai 'senarai pemilih yang tidak perlu hadir', yang bermaksud tidak hadir pada hari pengundian.

Senarai tersebut, difahamkan merupakan pengundi pos yang akan mengundi awal dan diletakkan di lokaliti tentera.

Jelas Mahfuz, sejumlah 113 nama diletakkan di lokaliti tentera, yang kod lokalitinya 400 ke atas dan dinamakan sebagai Palapes.

"Apa yang saya faham, mereka ini merupakan mahasiswa yang terlibat dengan Palapes.  Kenapa mereka didaftarkan dalam lokaliti tentera, sedangkan mereka belum berkhidmat dalam tentera?" soal beliau.

Tambah beliau, sebahagian daripada Palapes itu mempunyai kad pengenalan tentera, manakala kebanyakannya mempunyai IC awam yang sepatutnya diletakkan di lokaliti biasa.

Ekoran itu, Mahfuz menyifatkan perkara ini sebagai penyelewengan SPR dan satu rangka 'task force' yang beroperasi di Jabatan Perdana Menteri (JPM) seperti yang didakwa beliau sebelum ini.

Sehubungan itu, Mahfuz mendesak JPN dan SPR segera menjelaskan keraguan berhubung kedua-dua perkara yang dibangkitkan beliau bagi mengelakkan tanggapan buruk orang ramai terhadap dua agensi kerajaan terbabit.

Sebelum ini, Mahfuz mendedahkan wujudnya 'task force' yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum nanti.

Beliau juga bertindak menyerahkan memorandum kepada pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung isu tersebut bagi menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong.


Sumber: Harakahdaily.net

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009