Arkib Blog

Friday, March 23, 2012

1Care: Kerajaan tidak belajar dari SBPA


KUALA LUMPUR, 23 Mac: Presiden PKR, Datuk Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempersoal tindakan kerajaan berhubung sesi penerangan 1Care yang hanya dibuat selepas dibantah rakyat.

Katanya, kerajaan seolah-olah tidak belajar dari rekod Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan dan kemudiannya dimansuhkan selepas dibantah rakyat.

"Sebagaimana disebutkan di dalam kenyataan kami sebelum ini, kami mempersoalkan jaminan Menteri Kesihatan sebagaimana rekodnya di dalam kontroversi Lynas.

"Seperti pengumuman BN yang lain contohnya SBPA, proses perundingan nampaknya dilakukan selepas mendapat kritikan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Azizah lagi, beliau juga menerima aduan-aduan daripada doktor-doktor yang terlibat di dalam perbincangan mengenai 1Care sebelum ini bahawa tiada proses rundingan dan dialog sebenar dan kerajaan nampaknya akan meneruskan 1Care.

Sebagaimana disebut di dalam kenyataannya sebelum ini, perbelanjaan kesihatan kerajaan sebanyak 2.2 peratus daripada KDNK pada 2008 adalah lebih rendah daripada cadangan WHO sebanyak 5 hingga 6 peratus.

WHO juga menganggarkan bahawa 20 hingga 40 peratus perbelanjaan kesihatan kerajaan dibazirkan kerana ketidakcekapan termasuk rasuah.

Justeru ujarnya, memperkenalkan 1Care tanpa mengatasi ketidakcekapan ini hanya akan membuka ruang untuk meningkatkan rasuah yang membebankan sistem kesihatan negara.

"Coraknya sama seperti penswastaan pelbagai sektor sistem kesihatan negara sepanjang dua dekad ini yang sepatutnya meningkatkan kecekapan tetapi sebaliknya hanya meningkatkan ketirisan.

"Ini termasuklah penswastaan Stor Perubatan Kerajaan, Hospital-Hospital Universiti, Jabatan Kardiologi dan Perkhidmatan Sokongan Hospital yang telah membawa peningkatan kos yang tinggi tanpa meningkatkan kecekapan," jelasnya.


Sumber: Harakahdaily

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009