Arkib Blog

Tuesday, January 3, 2012

Keputusan liwat II: 100,000 berhimpun 9 Jan ini


Walaupun polis melarang semua pihak berhimpun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari ini, Pakatan Rakyat akan tetap menggerakkan penyokongnya hadir memberikan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi kes tuduhan liwat.

"Insya-Allah, saya, seluruh pimpinan (Pakatan) dan seluruh rakyat Malaysia akan hadir menyatakan sokongan dan bersama-sama Datuk Seri Anwar pada hari tersebut," kata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali (tengah, baju biru belang).

Bercakap selepas memberi taklimat kepada Majlis Pimpinan Pusat, ahli Parlimen dan ADUN PKR hari ini, Azmin menegaskan Pakatan akan menggerakkan 100,000 penyokong pada hari itu.

Katanya, walau apa pun keputusan yang diumumkan, Pakatan dan PKR telah bersedia menggalas amanah memimpin negara serta berusaha mengembalikannya ke landasan yang tepat.

"Justeru saya memberi jaminan bahawa kepimpinan PKR akan terus menerajui agenda rakyat," kata dalam sidang media di ibu pejabat parti itu pagi ini.

Turut hadir dalam sidang media tersebut, semua ahli parlimen dan ADUN PKR termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman.

Mengulas lanjut berhubung perhimpunan itu, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak berkata PAS juga memberi jaminan dan pengakuan bahawa parti itu akan menggerakkan penyokongnya dalam perhimpunan pada hari tersebut.

Bincang dalam Majlis Presiden Pakatan

Katanya, jaminan tersebut diberikan selepas beliau berkomunikasi dengan setiausaha agung PAS Datuk Mustaffa Ali, yang tidak dapat hadir ke talimat tersebut kerana terpaksa menghadiri mesyuarat Dewan Harian PAS hari ini.

Ditanya berhubung sokongan DAP pula, Azmin berkata Ketua AMK Pusat Shamsul Iskandar Md Akin sedang berkomunikasi dengan pemimpin DAP.

"Saya (juga) akan berbincang (perkara ini) dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini dan taklimat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat," katanya.

Sementara itu Dr Abd Rani berkata beliau berharap "tidak ada masalah" akan timbul pada perhimpunan 9 Januari ini.

Bahkan, beliau berharap pihak polis dapat mengawal keselamatan dan keadaan pada hari tersebut.

"Kalau polis Arab Saudi boleh mengawal tiga juta jemaah haji, takkan PDRM tak boleh... Jadi tak ada masalah, kita protes secara aman.

"Saya nasihatkan (rakyat) jangan bawa senjata tajam," katanya sambil mengerahkan semua kawasan PAS di Selangor menghantar "seramai mungkin" anggota pada perhimpunan tersebut.

'Tangan ghaib'

Ditanya pemberita tindakan PKR jika Anwar didapati bersalah dan dihumban ke penjara tanpa diikat jamin, Azmin berkata beliau tidak mahu prejudis dengan apa yang dijangka berlaku pada tarikh tersebut.

Katanya, jika sistem perundangan telus dan tiada 'tangan ghaib' daripada pihak eksekutif, beliau yakin Anwar akan dibebaskan pada 9 Januari ini.

Diasak wartawan mengenai kemungkinan Anwar dihumban ke penjara, Azmin berkata segala perancangan dan strategi yang telah disusun parti akan diteruskan sama ada ketua umum PKR itu didapati bersalah ataupun dibebaskan.

"Apa yang kita susun, kita akan teruskan sama ada beliau dibebaskan atau dijatuhkan hukuman, dengan jaminan atau tidak.

"Ia bukannya bermusim, tetapi perlu diteruskan hingga pilihan raya umum ke-13... Jangan buat hipotesis sama ia berlaku atau tidak.

"Tetapi bagi saya, beliau tidak bersalah, perlu dilepaskan dan (ramai) rakyat telah meneropong tentang kes ini," katanya.


Sumber: Malaysiakini

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009