Arkib Blog

Tuesday, October 18, 2011

Karpal minta hakim didakwa plagiat letak jawatan


Ahli parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh hari ini menggesa Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hakim Abdul Malik Ishak supaya meletakkan jawatannya berikutan dakwaan plagiarisme.

"Ini adalah untuk menyelamatkan reputasi badan kehakiman dan negara daripada menanggung malu berterusan."

"Perkara yang betul dan mulia untuk dilakukan adalah meletakkan jawatan kerana beliau tidak nafikan apabila saya bertanya dan hantar dua surat kepada beliau (Abdul Malik) supaya menafikan dakwaan berkenaan sebelum usul itu dibawa ke parlimen," kata Karpal (dua dari kiri) yang juga seorang peguam kanan.

Karpal juga membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, yang menyalahkan badan kehakiman kerana tidak mengambil tindakan ke atas Abdul Malik walaupun perkara itu telah dibawa untuk perhatian Malaysia oleh Singapura pada tahun 2000.

"Saya rasa Nazri telah salah mentafsirkan undang-undang. Mengikut undang-undang dan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan, satu-satunya cara untuk menyingkirkan seseorang hakim adalah melalui tribunal," katanya.

"Ketua Hakim Negara tidak boleh memecat atau menyingkir mana-mana hakim kerana tiada peruntukan untuk beliau berbuat demikian," katanya.

Pada 4 Oktober lalu, Karpal mengemukakan usul mengikut Perintah-Perintah Tetap 27 yang dibaca bersama dengan 36 (8) dan Perkara 127 perlembagaan persekutuan, yang mahu dibentangkannya di Dewan Rakyat.

Menurut Karpal yang juga pengerusi DAP, beliau sendiri telah menulis kepada hakim kanan itu pada 22 Ogos lalu dan memberi beliau masa selama tujuh hari untuk menjawab dakwaan berkenaan.

Karpal kemudiannya menulis sepucuk lagi surat pada 29 September lalu dan memberitahu hakim itu bahawa sekiranya tiada jawapan diberikan beliau akan mengandaikan ia sebagai pengakuan salah laku.


Sumber: Malaysiakini

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009