Arkib Blog

Monday, August 1, 2011

Kadar Tanah PKFZ Dinaikkan Dari RM18 Ke RM21


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa penilaian kadar tanah di Mukim Klang bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah sebanyak RM18 sekaki persegi sebelum dinaikkan kepada RM21 sekaki persegi.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah berkata jumlah tersebut adalah jumlah yang dipersetujui Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan (JPPH) setelah mengambilkira infrastruktur asas dan bayaran pendahuluan tahun pertama sebanyak 5 peratus.

Tun Abd Majid menerusi ucapan pembukaan di hari pertama perbicaraan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik berkata penilaian kadar itu (RM18) juga mengambil kira kadar kupon 6 peratus, tempoh bayaran balik 10 hingga 15 tahun, tiada faedah untuk tahun pertama dan kedua serta bayaran faedah sahaja untuk tahun ketiga dan keempat.

"JPPH turut mengambil kira bayaran balik secara tahunan baki termasuk faedah untuk selama enam tahun atai 11 tahun serta tempoh baki 10 atau 15 tahun dengan menggunakan kaedah 'discounted cash flow' dimana target rate ditetapkan 8.25 peratus, kadar kupon 6 peratus dan terma bayaran balik 10 tahun, nilaian tanah sebanyak RM25 sekaki persegi boleh dipertimbangkan untuk maksud keluaran bon walaupun nilai tanah hanya RM21," katanya.

Tambah Tun Abd Majid ia merupakan kadar yang diperaku dan dipersetujui oleh JPPH dan pihak pendakwaan akan membuktikan kadar nilai faedah sebanyak 7.5 peratus setahun sebenarnya tidak diperaku dan dipersetujui oleh JPPH.

"Sehubungan itu pihak pendakwaan akan menunjukkan bahwa tidak sepatutnya ada kadar nilai 7.5 peratus tambahan kepada harga tanah tersebut. Pihak pendakwaan juga akan membuktikan bahawa penilaian ini telah dimaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan oleh JPPH dan seterusnya kepada tertuduh.

"Keterangan akan dibawa untuk menunjukkan bahawa tertuduh (Dr Ling) telah menulis surat kepada Perdana Menteri (ketika itu) yang memaklumkan bahawa rundingan di antara LPK dan KDSB telah diadakan mengenai pembelian tanah tersebut berdasarkan syarat dan terma-terma telah dipersetujui oleh JPPH seperti di lampiran surat berkenaan dan diterima oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK)," katanya.

Tambah Tun Abd Majid, pihak pendakwaan juga akan membawa keterangan yang menunjukkan pada 6 Nov 2002, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan pembelian tanah tersebut atas dorongan oleh tertuduh yang menyatakan syarat dan terma-terma pembelian tanah tersebut diperku dan dipersetujui oleh JPPH sedangkan tertuduh tahu dan sedar perkara ini adalah tidak benar dan tertuduh juga tidak mendedahkan atau menjelaskan bahawa kadar faedah 7.5 peratus itu adalah tambahan kepada nilai yang diperaku dan dipersetujui oleh JPPH.

"Pihak pendakwaan akan membuktikan beliau (Dr Ling) bertanggungjawab ke atas LPK yang terletak di bawah seliaan kementeriannya dan beliau terikat di sisi undang-undang untuk melindungi kepentingan Kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kadar faedah/kupon tambahan tersebut, telah menipu kerajaan Malaysia dengan sengaja," katanya.

Beliau menambah bukti-bukti akan dikemukakan melalui keterangan lisan dan dokumen bagi menunjukkan kesemua intipati pertuduhan terhadap tertuduh melampaui tahap keraguan munasabah.


Sumber: Bernama

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009