SHAH ALAM 27 JULAI : Peguam Hak Asasi Perancis, William Bourdon tidak melihat pengusirannya dari Malaysia sebagai 'dipergunakan atau dijadikan mangsa' oleh Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).
Kenyataan Bourdon itu menolak alasan rapuh yang dikeluarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi sebelum ini kononnya Bourdon adalah mangsa politik SUARAM.
Bourdon berkata, beliau datang ke Malaysia adalah sebagai seorang peguam dan tindakan kerajaan Malaysia menghalangnya berjumpa dengan anak guamnya adalah suatu tindakan penafian perundangan.
Bourdon Jumaat lalu, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dihantar pulang ke Perancis pada sebelah malamnya, tanpa sebarang alasan daripada kerajaan Malaysia.
"Pihak berkuasa cuba menjadikan Suaram sebagai 'hantu' dalam usaha mengusir saya,” katanya.
Bourdon diusir selepas beliau menghadiri majlis makan malam di Pulau Pinang, 21 Julai lalu, apabila beliau memberi taklimat mengenai perkembangan siasatan kehakiman Perancis berhubung skandal pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM7 bilion ($2.8 bilion) oleh kerajaan Malaysia.
Kerajaan didakwa menerima komisen sebanyak RM540 juta dari firma pertahanan Perancis DCNS pada tahun 2002, melalui syarikat Perimekar iaitu subsidari KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang mana pemegang saham utamnya adalah isteri Abdul Razak Baginda.
Razak Baginda adalah rakan rapat Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak. Razak Baginda didakwa terbabit dalam pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shariibuu.
Namun mahkamah membebaskannya daripada tuduhan tersebut.
Pada Disember 2009, SUARAM memfailkan aduan kepada mahkamah Perancis mengenai hal itu dan mendapatkan khidmat Bourdon.
Sumber: TVSNEWS
0 comments:
Post a Comment