Persidangan Dewan Rakyat hari ini menolak usul bagi mengecam tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai depan bagi menuntut reformasi dalam pelaksanaan pilihan raya di negara ini.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengambil ketetapan menolak usul yang dibawa Datuk Seri Zahrain Hashim (Bebas-Bayan Baru) mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) itu selepas berpuas hati bahawa usul itu tidak perlu disegerakan.
"Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia telah mengambil langkah perlu sebagai persediaan untuk menangani perhimpunan BERSIH itu dan akan sentiasa memantau aktiviti-aktiviti yang dijalankan agar dapat dibanteras dan dipastikan tidak berlaku perkara yang tidak diingini yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.
Terdahulu, Zahrain yang mengemukakan usul itu sebaik sesi soal jawab selesai, meminta dewan mengambil ketetapan untuk mengecam sekeras-kerasnya segala tindakan BERSIH, terutama menghasut rakyat agar merusuh di jalanan sepertimana yang berlaku di beberapa negara Timur Tengah, termasuk Tunisia dan Mesir.
Beliau juga mahu persidangan mendesak BERSIH supaya membatalkan cadangan mengadakan demonstrasi baik di Kuala Lumpur, mahupun di mana-mana negeri demi keselamatan rakyat dan negara.
Zahrain berkata tindakan BERSIH tidak mencerminkannya sebagai sebuah badan yang benar-benar memperjuangkan pilihan raya yang bebas dan telus, sebaliknya bermotifkan politik kepartian.
"Kegiatan lampau BERSIH membuktikan kumpulan ini mempunyai agenda politik sempit dan berhasrat mengelirukan rakyat demi mencapai matlamat politik mereka," katanya.
Pada 2007, BERSIH menggunakan slogan 'Gelombang Kuning' telah menganjurkan perhimpunan aman bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Jalan Tuanku Syed Putra, atas alasan sama.
Perhimpunan yang bermula di Dataran Merdeka itu berjaya mengumpulkan 40,000 peserta.
Perhimpunan kedua BERSIH pada bulan depan antara lain untuk menuntut pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media bebas dan adil.
- Bernama
0 comments:
Post a Comment