KUALA LUMPUR 23 MEI : Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan 'tahniah' dan 'syabas' kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana ‘berjaya’ membawa Malaysia ke ranking ke-10 negara konsumer arak terbesar dunia, kata Ketua Penerangannya, Herman Samsudeen.
Menurut Herman, kedudukan itu disahkan Pertubuhan kesihatan Dunia (WHO) yang menyatakan rakyat Malaysia menghabiskan lebih RM1.5 bilion setahun untuk membeli arak.
“Setiap tahun, 30% kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku kerana pengaruh alkohol. Malah lebih teruk dari itu, arak juga sering dikaitkan dengan jenayah penganiayaan, dera, rogol dan bunuh. Gejala pengambilan arak juga kini sudah menular kalangan pelajar sekolah,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Justeru itu, DPPWP menggesa Pihak berkuasa Kerajaan Tempatan, Kerajaan Negeri dan Persekutuan supaya serius menangani perkembangan industri arak di negara ini.
“Pengeluaran arak di kilang-kilang dalam negara hendaklah dikurangkan, dan permohonan lesen-lesen pengilangan dan penjualan arak baru hendaklah dibatalkan.
“DPPWP juga mahu pihak berwajib memantau aktiviti penjualan arak dikedai-kedai, restoran dan Kelab Malam. Arak tidak sepatutnya dibiarkan dijual secara terbukaseperti dikedai-kedai ubat dan 7-Eleven yang beroperasi 24 jam. Akses pembelian arak yang begitu terbuka menyebabkan rakyat negara ini begitu mudah terlibat kepada gejala penagihan arak ini,” ujarnya.
Dalam pada itu Herman berkata, Pemuda Pas kesal kerana kerajaan gagal menghalang umat Islam dari terjebak dalam urusniaga arak dan meminumnya.
“Oleh itu, Kerajaan wajib memberikan kuasa penuh kepada JAKIM dan Majlis Agama Negeri memantau umat Islam dari terjebak kepada arak. Islam mengharamkan umatnya meminum arak. Bukan hanya kepada rakyat biasa tetapi kepada golongan kaya dan pemimpin sekalipun, hukumnya tetap haram di sisi Islam.
Bagi yang bukan Islam, pula katanya, DPPWP menasihatkan supaya mereka menjauhi arak kerana ia lebih banyak memberikan keburukan berbanding kebaikan.
“Akhir sekali DPPWP berharap agar Kerajaan tidak terus menerus menutup mata, memekakkan telinga hanya kerana cukai arak yang tinggi dapat memberikan pulangan kepada dana kewangan negara.
“Ahli-ahli parlimen wajar membincangkan isu ini dan mencari langkah-langkah penyelesaikan terbaik bagi menyelamatkan rakyat. DPPWP berharap agar pemimpin Islam dan bukan Islam dinegara ini dapat mengambil perhatian serius fakta WHO ini dan berusaha menjadikan negara ini bebas dari pengaruh arak,” katanya.
Sumber: TVSNEWS
0 comments:
Post a Comment