Arkib Blog

Monday, May 16, 2011

DAP mahu KDN bertindak, dakwa Umno lindungi Perkasa

KUALA LUMPUR, 16 Mei — DAP menggesa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan terhadap Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang melahirkan kesediaan melancarkan “perang jihad” ke atas komuniti Kristian jika meneruskan agenda mahu “merampas” kedudukan Islam di negara ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein harus mengambil tindakan terhadap mana-mana individu termasuk Ibrahim yang menyemarakkan api perkauman dan keagamaan.

“Keengganan Umno mengambil tindakan terhadap Ibrahim Ali dan Perkasa akan mewujudkan suasana tidak aman selain akan berlaku ketegangan di kalangan rakyat Malaysia.

“Selain itu, ia menunjukkan seolah-olah Umno melindungi Perkasa walaupun Perkasa cuba menghasut rakyat membenci komuniti Kristian.

“Keengganan Menteri Dalam Negeri mengesahkan lagi Umno sekadar berlakon untuk melindungi Ibrahim dan Perkasa,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Lim (gambar) yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan laporan berunsur fitnah terbitan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian Agama Rasmi?”, 7 Mei lalu, memberi peluang keemasan Ibrahim untuk mewujudkan kebencian kepada komuniti Kristian.

“Pembohongan yang berbahaya oleh Utusan Malaysia telah memberi satu peluang keemasan kepada pelampau-pelampau seperti Ibrahim Ali untuk mecetuskan kebencian dan menghasut permusuhan di kalangan rakyat Malaysia.

“Hishammuddin terus mempertahankan Ibrahim Ali dan Perkasa walaupun mahu melancarkan jihad menentang komuniti Kristian, bayangkan bagaimana jika komuniti Kristian melancarkan jihad menentang orang Islam... sudah pasti dia akan ditangkap dengan segera,” katanya.

Dalam ceramah di Gombak kelmarin, Ibrahim memberi amaran kepada komuniti Kristian bahawa beliau akan melancarkan “perang jihad” jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam negara ini.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas itu berkata, beliau bersedia untuk jatuh atas kenyataannya itu demi mempertahankan maruah Islam.

Ibrahim juga berkata, darahnya sedang mendidih ekoran laporan terbaru kononnya wujud konspirasi antara pengikut Kristian dengan pemimpin-pemimpin agama dan ahli politik pembangkang.

Bagaimanapun Hishammuddin menegaskan apa yang dikatakan Ibrahim itu tidak mewakili keseluruhan masyarakat Melayu.

“Saya tidak melihat Ibrahim Ali mewakili keseluruhan orang Melayu atau (masyarakat) Muslim (negara ini). Seperti Osama bin Laden, beliau tidak mewakili keseluruhan umat Islam.

“Ada pihak pelampau. Saya tidak mengatakan Ibrahim Ali ekstremis, tolong jangan salah petik saya, tetapi saya mengatakan ada tahap pemahaman yang berlainan,” katanya.

Semalam, Presiden Gerakan Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon meminta polis agar menyiasat ucapan-ucapan Ibrahim sejak beberapa hari lalu.


Sumber: The Malaysian Insider

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009