Arkib Blog

Tuesday, May 24, 2011

AmResearch: RON95 dijangka naik 20 sen bulan depan


KUALA LUMPUR 24 Mei — AmResearch menjangkakan harga petrol RON95 mengalami kenaikan 20 sen bulan depan, mencecah RM2.10 seliter, selepas kos subsidi meningkat tiga kali ganda kesan pergolakan politik di rantau Timur Tengah dan utara Afrika.

Firma penyelidikan pelaburan itu menganggarkan Putrajaya kini memperuntukkan subsidi sehingga 90 sen seliter bagi petrol RON95 berbanding 30 sen seliter yang disasarkan selepas harga minyak mentah dunia naik sehingga AS$99 setong daripada AS$79 setong tahun lalu — hampir sama dengan paras AS$100 setong pada 2008.

Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter. RON97 sudah naik empat kali tahun ini termasuk awal bulan ini untuk dijual RM2.90 seliter sekarang.

Minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenaikan harga petrol RON95 mungkin berlaku dan oleh itu, rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya.

Beliau berkata kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka dibuat sekali lagi bulan depan.


Sumber: Selangorkini

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009