Arkib Blog

Tuesday, April 5, 2011

SPR: Calon dibenar 50 penyokong saja esok


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan tidak lebih daripada 50 penyokong mengiringi bakal calon sewaktu proses penamaan
calon bagi pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan esok.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata penyokong yang lain tidak dibenarkan berada berhampiran bangunan yang digunakan untuk proses penamaan calon itu.

Katanya para penyokong parti yang bertanding juga tidak dibenarkan membawa alat-alat muzik seperti gendang dan trumpet, serta pembesar suara ketika proses penamaan calon.

"Kalau mereka dilihat membawa alat-alat muzik itu, barang itu akan dirampas oleh polis. Kadang-kadang barangan seperti ini mereka letakkan di atas kenderaan... ini juga tidak boleh," katanya pada sidang berita di pusat penamaan calon di Dewan Bandaraya Kuching Selatan di Kuching hari ini.

Beliau berkata polis telah menyediakan tempat berkumpul dan laluan bagi penyokong calon di semua 71 pusat penamaan calon tetapi mereka diminta tidak datang terlalu ramai.

"Para penyokong juga diminta menjaga tingkah laku masing-masing. Jangan mengeluarkan perkataan yang tidak elok atau yang berbentuk provokasi. Orang Sarawak baik-baik, saya harap budaya sebegini diteruskan," katanya.

Abdul Aziz berkata sebanyak 883 set borang pencalonan bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 telah dibeli sehingga 10 pagi ini.

"Masih ada tempoh untuk mendapatkan borang pencalonan. Borang pencalonan yang banyak dibeli bukan bermakna ramai orang nak bertanding. Ada juga orang yang memang dapatkan borang yang banyak takut berlaku kesilapan dalam mengisi borang," katanya.

Beliau berkata tempoh berkempen selama 10 hari, bermula esok hingga 15 April, adalah kurang sehari daripada tempoh berkempen bagi pilihan raya negeri yang lepas.

Pengundian bagi pilihan raya negeri kali ini adalah pada 16 April.

- Bernama

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009