Timbalan setiausaha agung Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Datuk Seri Wong Soon Koh atau partinya boleh dituduh melanggar undang-undang jika mereka gagal membuktikan bahawa 100 orang Iban telah dilantik secara sah sebagai pekerja dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, kata setiausaha DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.
Chong mencabar Soon Koh (kiri) atau SUPP menunjukkan resit
sebagai bukti mereka dilindungi oleh skim Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) dan berdaftar dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Mereka wajib menyediakan perlindungan terhadap pekerja mereka di bawah Perkeso dan membuat caruman KWSP,” katanya dalam satu sidang akhbar di Kuching semalam.
“Sejak Soon Koh kata mereka adalah pekerja parti dan mereka datang mengambil gaji masing-masing Isnin lepas, maka saya mahu beliau mengemukakan buktinya,” katanya.
Chong (kanan), yang baru-baru ini mengekalkan kerusi DUN Kota
Sentosa, berkata di bawah Akta Perkeso dan KWSP, majikan dikehendaki menyediakan perlindungan Perkeso ke atas pekerja dan mencarum kepada KWSP sekalipun hanya berkerja sehari ataupun satu minggu.
“Soon Koh atau SUPP kata mereka mengambil orang Iban tersebut bekerja, oleh mereka mesti dilindungi di bawah Perkeso dan KWSP.
“Jadi, saya cabar Soon Koh mengemukakan resit bayaran untuk pekerja tersebut dan caruman KWSP mereka. Jika tidak, saya menggesa Perkeso dan KWSP supaya cari Wong,” katanya.
Chong berkata, ramai majikan didenda atau dihukum kerana tidak sedar bahawa mereka perlu melindungi pekerja mereka di bawah Perkeso dan mencarum kepada KWSP.
Dalam sidang akhbar di Sibu Rabu lalu, Soon Koh mendakwa orang
Iban tersebut bekerja untuk SUPP dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, dan mereka datang mengambil gaji mereka di ibupejabat parti itu di Sibu Isnin lalu.
Beliau mengecam pembangkang yang mendakwa orang Iban tersebut datang untuk mengambil RM400 setiap seorang sebagai baki daripada RM500 yang dijanjikan jika mereka mengundinya di kerusi Bawang Assan.
Sementara itu, pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng telah membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sibu berhubung dakwaan membeli undi di Bawang Assan sewaktu pilihan raya negeri.
Sumber: Malaysiakini
0 comments:
Post a Comment