Tidak dapat dipastikan bagaimana timbalan presiden PKR Azmin Ali mengetahuinya tetapi dakwanya Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai masalah untuk tidur malam sejak kebelakangan ini, terutamanya selepas pilihan raya Sarawak.
Azmin, yang juga ahli parlimen Gombak mendedahkan bahawa Najib pula bergelut dengan dilema sama ada untuk membubarkan parlimen ataupun terus menunggu sehingga tahun 2013.
Justeru, katanya, penyokong Pakatan rakyat perlu bersiap sedia sama ada pilihan raya umum ke-13 negara diadakan tahun ini ataupun tidak.
"Sama ada awak adalah rakyat Malaysia, ahli parti, ADUN ataupun ahli parlimen, bersiap-sedialah,” katanya kepada kira-kira 500 hadirin pada majlis makan malam bagi mengutip derma di cawangan PKR Bukit Gelugor di Pulau Pinang, malam semalam.
Azmin berkata beliau yakin jika rakyat bersiap sedia, maka menjelang pilihan raya umum akan datang, Pakatan Rakyat akan menguasai Putrajaya yang kini diduduki oleh BN.
"Ada orang kata pilihan raya umum akan ditangguhkan... tetapi ramai pula kata jika tangguhkan keputusannya mungkin lebih teruk kepada BN,” katanya.
"Sebab itu Najib dalam dilema dan Rosmah pula tidak lena tidur malam,” katanya.
Azmin berada di Pulau Pinang bagi mewakili Anwar yang tidak dapat menghadiri lawatan dua harinya ke negeri itu kerana masalah kesihatan.
Beliau kemudiannya bergegas ke ceramah perdana 'Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia' bertempat di Dewan Sungai Tiram, Batu Maung.
Antara yang berucap selain Azmin adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Isu yang disentuh ialah pembaziran emel 1Malaysia yang menelan kos RM50 juta, muslihat slogan 1Melayu, 1Bumi' yang dibangkitkanUtusan Malaysia, sebuah akhbar milik Umno-BN dan banyak lagi.
Dalam ucapannya, Azmin menyelar sikap sikap hipokrit Najib dalam isu 1Melayu, 1 Bumiputera yang dicanangkan Utusan Malaysia yang konon untuk menyatukan semua Melayu sedangkan akhbar itu sebenarnya memecah belahkan perpaduan Melayu.
Azmin berkata Najib secara tiba-tiba semalam menafikan hubung kait antara Utusan Malaysia dan pimpinan Umno BN yang selama ini menjadi lidah rasmi parti itu.
“Inilah hipokrit Barisan Nasional pimpinan Najib. Najib kata: 1Melayu, 1Bumiputera pandangan editor Utusan Malaysia.
“Wahai Najib dan Rosmah, kita tahu Utusan Malaysia disokong Umno. Kita tahu Utusan Malaysia surat khabar milik Umno. Kita juga tahuUtusan Malaysia hidup kerana Umno yang memainkan politik perkauman,” kata Azmin.
Sumber: malaysiakini
0 comments:
Post a Comment