AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Friday, April 29, 2011

Anwar : Umno Cetus Budaya Takut Pancing Undi Melayu


KUALA LUMPUR 29 APRIL : Idea gerakan “1Melayu, 1Bumi” yang dibawa Utusan Malaysia adalah satu petanda jelas Umno sanggup melaga-lagakan kaum Melayu dan Cina untuk mendapatkan undi masyarakat itu di kawasan-kawasan luar bandar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Anwar mendakwa Umno mewujudkan “budaya takut” dengan memberi gambaran salah kononnya kaum Cina mahu menguasai asas politik daripada orang Melayu, yang merupakan majoriti penduduk negara ini, bagi tujuan memperoleh undi maksimum menjelang pilihan raya umum ke-13.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu juga mendakwa Datuk Seri Najib Razak memperakui dan mengesahkan pendirian Melayu ultra yang semakin meningkat di pihak Umno, meskipun Perdana Menteri menolak idea “1Melayu, 1Bumi” atas alasan ia pandangan peribadi editor Utusan.

“Umno menggunakan budaya takut dalam mewujudkan ilusi permusuhan ini dalam bentuk orang Cina... jadi orang Melayu perlu bergantung pada Umno. Jika yang ini berlaku, saya melihat orang Melayu digantung oleh Umno,” kata Anwar (gambar) kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual eksklusif diadakan Rabu lalu.

Anwar, Ketua Umum PKR berkata Umno menerusi Utusan telah menyalah tafsir kaum Cina sebagai oportunis politik dan ia satu kedudukan agresif ekoran asas sokongan kepada parti Melayu yang semakin terhakis selain gagal dalam menangani isu-isu nasional.

“Umno akan sentiasa mencetuskan musuh sama ada di luar ataupun dalam negara... ini menunjukkan hipokrasi Najib dan pentadbirannya dalam usaha cuba menonjolkan ia sebagai suara bebas, moderat.

“Saya tidak pernah menerima andaian bahawa Utusan atau Umno benar-benar serius atau tulen dalam usaha mereka mempertahankan orang Melayu, ia usaha terdesak untuk mendapatkan sokongan,” kata Ketua Pembangkang di Parlimen ini.

Bekas timbalan perdana menteri ini berkata Umno telah diberi separuh abad untuk mempertahankan kepentingan orang-orang Melayu tetapi mereka hanya melindungi anggota keluarga, kroni,” katanya lagi.

Anwar juga berkata Najib telah melepas tangan dalam isu Utusan yang bertindak sebagai Melayu ultra.

Katanya, Najib sebagai presiden Umno ada suara secara langsung ke atas pendirian editorial yang diambil oleh Utusan, yang dimiliki Umno.

“Utusan terletak di bawah kawalan langsung presiden Umno... saya tahu perkara ini kerana media diselaras secara tidak langsung menerusi pejabat perdana menteri dan presiden Umno ada kawalan langsung.

“Untuk mengatakan ini langkah Utusan dan beliau komited kepada gagasan 1 Malaysia adalah hipokrisi kerana sepanjang sejarah Umno, presiden ada suara dalam berita-berita (disiarkan) Utusan,” kata pemimpin berusia 63 tahun ini.

Utusan melemparkan serangan ke atas DAP sejak pilihan raya negeri Sarawak 16 April lalu sambil mendakwa parti komponen Pakatan Rakyat itu menggunakan sentimen-sentimen perkauman untuk memperoleh undi komuniti Cina.

Minggu lalu, akhbar itu mengesyorkan idea gerakan “1Melayu, 1Bumi” yang turut disahut oleh Perkasa.

Perkasa akan melancarkannya di Alor Setar, esok.

Anwar berkata tidak salah bagi mana-mana pergerakan Mealyu memberi tumpuan untuk memperbaiki keadaan ekonomi komunitinya, tetapi mengingatkan pergerakan sedemikian seharusnya mengutamakan majoriti Melayu dan Bumiputera yang masih miskin dan ia harus berasaskan “keperluan.”

“Kita mesti mengakui bahawa majoriti rakyat Malaysia yang miskin adalah orang Melayu dan Bumiputera.

“Dan, kita tidak boleh mengabaikan keadaan ini, banyak yang perlu dilakukan, tetapi pada masa yang sama, kita mesti tegas dalam dasar-dasar kita untuk mengadakan program tindakan afirmatif berasaskan keperluan,” katanya lagi.-The Malaysian Insider

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009