Arkib Blog

Monday, March 28, 2011

RM52b lesap: Najib mesti bertanggungjawab


BUKIT KATIL, 28 Mac: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mesti bertanggungjawab dan digesa meletakkan jawatan kerana gagal menjaga kepentingan orang Melayu.

"Najib mesti letak jawatan kerana gagal memastikan saham Bumiputera dipertahankan. Bukannya hendak menambah saham orang Melayu dan Bumiputera malah yang ada pun lesap,” kata Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Yusof Wahab.

Katanya, seorang Perdana Menteri mesti bertanggungjawab sepenuhnya dengan kehilangan kepentingan Bumiputera itu.

Baru-baru ini, Najib mengakui saham Bumiputera RM52 bilion telah hangus dan lesap, yang tinggal cuma RM2 bilion daripada jumlah asal RM54 bilion yang diperuntukkan untuk syarikat Bumiputera.

Yusof yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukitt Katil hairan bagaimana sebuah kerajaan yang dikatakan sentiasa mendahulukan rakyat termasuk bumiputera sanggup menggadai saham Bumiputera dan memberinya kepada pihak lain dan kroni.

"Kita menggesa Najib membuat laporan terperinci tentang kehilangan saham ini dan pada masa yang sama mesti membuat laporan kepada SPRM jika terdapat salah laku dan penyelewengan kuasa sehingga berlakunya perkara yang memalukan ini.

"Mungkinkah kroni dan rakan-rakan yang rapat dengan pihak tertentu yang mendapat keuntungan dari lesapnya saham ini?" soalnya.

Katanya, pengakuan Najib bahawa saham Melayu lesap sebagaimana disiarkan akhbar Harakah terbaru edisi cetak Bil 1626 edisi tidak cukup untuk mengubati kegagalannya dalam isu itu.

"Beliau mesti meletakkan jawatan dan seterusnya disiasat kerana perkara ini adalah serius melibatkan kepentingan Bumiputera.

"Dahlah saham orang Melayu sedikit, yang ada pun lesap entah ke mana," kata Yusof dengan kesal.

Menurutnya, rakyat berhak mengetahui ke mana saham itu dijual dan siapa yang bertanggungjawab menjalankan kerja yang menggadaikan maruah dan kepentingan orang Melayu.



Sumber: Harakah Daily

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009