Arkib Blog

Monday, March 14, 2011

Kes saman bekas CEO dijangka dedah pelbagai kesalahan Sime dan kerajaan


KUALA LUMPUR 14 MAC : Kes saman RM338 juta Sime Darby Bhd terhadap bekas ketua pegawai eksekutifnya Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid dan empat yang lain dijangka akan mendedahkan segala ‘daki’ memandangkan pegawai-pegawai kanan kerajaan juga akan dipanggil memberi keterangan mengenai operasi konglomerat itu.

Difahamkan defendan juga akan memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dua bekas penyandang jawatan tersebut iaitu Tun Abdullah Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kes yang difailkan Disember lalu.

Ketiga-tiga mereka juga sedang dan pernah mengetuai Kementerian Kewangan.

Saman berhubung kerugian RM2.1 bilion dialami Sime Darby telah menamakan Zubir dan empat yang lain.

Empat yang lain itu adalah Datuk Mohamad Shukri Baharom (bekas naib presiden eksekutif bahagian tenaga & utiliti kumpulan), Abdul Rahim Ismail (bekas ketua pegawai kewangan bahagian tenaga & utiliti kumpulan), Abdul Kadir Alias (bekas ketua unit perniagaan minyak & gas bahagian tenaga & utiliti) dan

Mohd Zaki Othman iaitu bekas pengurus besar kanan Sime Darby Engineering Sdn Bhd.

Tertuduh-tertuduh dijangka mempertahankan bahawa projek konglomerat itu di Bakun dan Qatar memang diketahui umum, malah disedari pemimpin-pemimpin kerajaan.

Sime Darby memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap mereka kerana didakwa melanggar peraturan pelaksanaan tugas.

Syarikat itu berkata saman itu bertujuan menebus kerugian yang dialami oleh Sime Darby Group dalam projek Qatar Petroleum, projek Maersk Oil Qatar (MOQ) dan projek yang berkaitan dengan pembinaan kapal-kapal bagi kegunaan dalam projek MOQ, dikenali sebagai ‘Marine Project’.

Ia menuntut daripada defendan, antara lain, pengembalian wang yang dibayar secara salah, ganti rugi bagi kerugian yang dialami, kehilangan keuntungan, kerosakan teruk dan kos.

Zaid Ibrahim & Co dikekalkan sebagai peguam cara Sime Darby dan Tommy Thomas sebagai peguam.

Sumber-sumber memberitahu, antara perkara yang akan didedahkan dalam perbicaraan itu kelak ialah pembabitan pemimpin-pemimpin kerajaan, Kabinet dan ahli-ahli politik kanan dalam soal pengendalian syarikat senaraian awam itu.

Ini termasuklah dana politik ketika pilihan raya dan pilihan raya-pilihan raya kecil.

Negara telah menyaksikan 16 pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum Mac 2008.

Lapan daripada dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) manakala baki oleh parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PR).

Wujud spekulasi Sime Darby juga bercadang untuk menyaman Zubir dan beberapa yang lain berhubung peningkatan kos dan pengendalian projek air bawah tanah besar-besaran di Perak serta pembelian tanah di Sarawak.

Sarawak dijangka mengadakan pilihan raya negeri bulan depan.

Sumber-sumber berkata seorang anggota kerabat diraja dan adik kepada pemimpin kanan kerajaan terlibat dalam projek air bawah tanah manakala seorang ahli perniagaan yang rapat dengan pemimpin berpengaruh di Sarawak dikaitkan dengan urusan pembelian tanah.

Difahamkan pegawai-pegawai penyiasat masih meneliti bukti sebelum menyerahkan fail kepada Peguam Negara.

Sumber: TVSNEWS

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009