Tiga bahan yang mahu dikemukakan oleh pihak pendakwa sebagai bukti dalam kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, hendaklah ditolak kerana penangkapan ketua pembangkang itu, menyalahi undang-undang.
Peguam Karpal Singh berkata, bahan-bahan tersebut, di mana profil DNA diperolehi, diambil melalui cara yang tidak betul dan tidak adil atau melalui tipu muslihat.
Peguam kanan dan ahli parlimen Bukit Gelugor itu berkata Anwar telah memberi keterangan bahawa tiga peguamnya - Datuk Param
Cumaraswamy, Sivarasa Rasiah , dan Sankara Nair - berada di pejabat Suruhanjaya Pencegahan RasuahMalaysia pada 16 Julai 2008, untuk kenyataannya direkodkan.
“Pada masa itu Anwar tahu mengenai temujanjinya pada jam 2 petang di IPK Kuala Lumpur untuk memberi kenyataan mengikut seksyen 112 berkaitan dengan aduan Mohd Saiful Bukhari Azlan," katanya.
Katanya, Anwar juga memberi keterangan bahawa dia telah memaklumkan kepada pegawai SPRM untuk pergi ke Kuala Lumpur untuk memberi kenyataannya kepada pihak polis.
Dalam perjalanan balik, hujah Karpal, kereta Anwar telah dihalang oleh beberapa kereta tidak bertanda dan kereta polis dengan 10 hingga 15 anggota komando yang memakai penutup muka dan bersenjatakan mesingan.
“Sankara yang duduk di kerusi depan, telah bertanya kepada Supt Ahmad Taufik Abdullah tentang penangkapan tersebut, tetapi pegawai itu menjawab dia hanya mengikut arahan menangkap Anwar.
“Sankara tidak diberitahu alasannya dan begitu juga dengan Anwar apabila Taufik duduk di sebelahnya di kerusi belakang kereta polis. Apabila disoal balas oleh peguamcara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Anwar menafikan yang dia mengetahui mengapa dia ditangkap,” katanya.
Sumber: Malaysiakini
0 comments:
Post a Comment