Arkib Blog

Sunday, February 27, 2011

Rafidah Aziz Akan Dilantik Sebagai Pengerusi Lembaga AirAsia X


KUALA LUMPUR 27 FEB : Bekas menteri Kabinet pusat Tan Sri Rafidah Aziz akan dinamakan sebagai pengerusi lembaga AirAsia X minggu ini, usaha yang dilihat dapat membantu syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh itu bagi mendapatkan lebih banyak laluan antarabangsa.

Menurut The Malaysian Insider , syarikat itu, yang turut meletakkan harapan pada ahli perniagaan dari Britain Sir Richard Branson sebagai pemegang sahamnya, tidak mengalami pertumbuhan pesat sebagaimana disasarkan oleh pengasasnya Datuk Seri Tony Fernandes selepas kejayaan perkhidmatan penerbangan jarak dekat kumpulan AirAsia.

"Lembaga telah memutuskan untuk meminta beliau menerima jawatan itu dan beliau telah pun bersetuju," kata sumber AirAsia X.

Pemegang saham penerbangan itu mengesahkan Rafidah akan menggantikan pengerusi semasa Datuk Kamaruddin Meranun, yang merupakan rakan kongsi Fernandes dalam kumpulan AirAsia, yang termasuk unit-unit di Thailand, Indonesia dan Filipina.

Rafidah, menteri perdagangan antarabangsa paling lama berkhidmat iaitu sehingga 2008, telah berjaya dalam perundingan perdagangan antarabangsa sehingga menjadikan Malaysia negara utama perdagangan di dunia.

Beliau mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada 2008 tetapi tidak dilantik semula sebagai anggota Kabinet meskipun telah dibersihkan daripada dakwaan meluluskan permit import kereta kepada kroninya.

Bekas ketua Wanita Umno berusia 68 tahun ini kini merupakan penaung dan penasihat Forum Malaysia-Eropah.

Difahamkan pelantikan terbaru ini akan membolehkan syarikat penerbangan tambang murah ini untuk memperoleh kelulusan cepat bagi laluan-laluan seperti ke Amerika Syarikat dan rantau Timur Tengah.

Syarikat itu baru memulakan penerbangan ke Paris-Orly bulan ini dan ke lapangan terbang Haneda di Tokyo Disember lalu dengan memiliki 11 pesawat.

Ia juga menyediakan perkhidmatan ke Darwin, Perth, Gold Coast dan Melbourne di Australia, lapangan terbang Stansted di London, lapangan terbang Khomeini Iran dan lapangan Incheon, Seoul tetapi menarik balik penerbangan ke Abu Dhabi ekoran respons dingin.

Kesemua pesawat AirAsia X menggunakan hak-hak pendaratan yang diberikan kepada kerajaan Malaysia, kebanyakannya diperoleh ketika era Rafidah sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri apabila negara mengadakan perjanjian langit terbuka.

AirAsia X bercadang untuk menyenaraikan syarikat itu pada separuh kedua tahun ini, tetapi bergantung pada keadaan pasaran dan telah menyempurnakan pengeluaran hak bernilai RM100 juta bagi mendapatkan dana dan bebas pembiayaan bagi pertumbuhan berterusan.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009