Naib presiden PKR, N Surendran menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menugaskannya mengetuai jawatankuasa tiga anggota untuk menangani masalah masyarakat India dan Anwar sendiri akan berusaha mendapatkan semula sokongan pengasas Hindraf, P Uthayakumar.
Sebaliknya, Surendran yang baru dilantik sebagai naib presiden PKR itu, berkata laporan tersebut mengandungi beberapa kesalahan fakta yang serius.
"Artikel itu melaporkan (PKR) akan membuka perbincangan dengan pengasas Hindraf P Uthayakumar dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyelesaikan 'hal Uthayakumar bersama pimpinan PAS dan DAP.
"Faktanya, hal ini tidak pernah diputuskan dan perkara ini tidak dibincangkan," kata Surendren.
Beliau merujuk kepada laporan bertajuk 'Anwar bid to win back Indian support' yang disiarkan oleh Malaysian Insider semalam.
Laporan tersebut menyebut Anwar, pemimpin India dalam PKR dan pemimpin NGO India, telah mengadakan pertemuan tertutup minggu lalu untuk membincangkan kemerosotan sokongan masyarakat India kepada Pakatan Rakyat.
Salah daripada dua keputusan yang dibuat oleh Anwar dalam pertemuan tersebut ialah mengadakan perbincangan terbuka dengan Uthayakumar bagi mendapatkan bantuannya untuk mendapatkan sokongan masyarakat India.
Laporan itu memetik sumber-sumber sebagai berkata, Anwar akan membincangkan perkara berkaitan dengan Uthayakumar itu, dengan pemimpin Pakatan seperti presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang dari DAP.
Namun, perkara itu dinafikan oleh Surendran (kanan), yang hadir
dalam pertemuan tersebut.
Tegasnya, tidak ada perkara seumpama itu yang diputuskan, bahkan ia tidak dibincangkan langsung.
"Juga tidak benar yang saya telah ditugaskan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa tiga anggota untuk menangani masalah masyarakat India," tambahnya.
Surendran menegaskan bahawa masalah yang dihadapi masyarakat India dan yang lain-lainnya, sentiasa menjadi keutamaan PKR dan parti komponen Pakatan yang lain.
Namun, menurut beliau, masalah berkenaan hanya boleh diselesaikan sepenuhnya dengan kuasa kerajaan pusat.
"Masalah (kaum ditindas) ini adalah disebabkan oleh pengabaian dan sikap tidak peduli kerajaan BN terhadap komuniti-komuniti ini selama lebih 50 tahun.
Walaupun usaha dilakukan di negeri-negeri Pakatan Rakyat bagi menyelesaikan masalah ini, perubahan komprehensif, kata Surendran hanya boleh berjaya jika kerajaan persekutuan menumpukan semua sumber dan usaha politik bagi mengatasi masalah berkenaan.
Sumber: Malaysiakini
0 comments:
Post a Comment