Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini mendesak Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meletakkan jawatan kerana kegagalannya menangani masalah demokrasi kampus yang semakin kritikal berkaitan perjalanan pilihan raya kampus.
Pengerusi Majlis Politik Nasional Gamis, Ahmad Syukri Ab Razab dalam satu kenyataan berkata Khaled juga gagal menyahut cabaran mahasiswa untuk berdialog secara terbuka mengenai isu-isu mahasiswa.
“Bagi saya, beliau tidak mengambil pengajaran daripada situasi negara luar yang sedang bergelora dengan revolusi rakyat,” katanya.
Gamis sebaliknya mahu Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk SaifuddinAbdullah menggantikan Khaled mengetuai kementerian berkenaan kerana dilihat lebih bersifat terbuka terhadap suara mahasiswa.
“Keprihatinan Timbalan Menteri ini jelas kelihatan apabila beliau sangat rapat dengan mahasiswa bukan sahaja melalui saluran formal bahkan melalui jaringan tidak formal.
“Ini dapat dilihat apabila beliau sangat sensitif dalam isu kemahasiswaan biarpun respon beliau kadangkala bercanggah dengan pendirian di peringkat kementerian,” katanya.
Ahmad Syukri berkata Saifuddin antara individu penting yang memperjuangkan pindaan terbaru Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sehingga sudut pidato dirasmikan semula di kampus-kampus.
“Biarpun perlantikan Datuk Saifuddin belum menjanjikan perubahan terhadap suasana demokrasi kampus yang lebih baik, namun sekurang-kurangnya ada jaminan bahawa beliau akan memberi ruang yang lebih luas untuk mahasiswa bersuara berdasarkan prestasi semasa beliau sebagai timbalan menteri KPT,” katanya.
Tidak dilayan
Menurut Ahmad Syukri, Gamis juga mengambil serius kegagalan Khaled berhadapan dengan tuntutan mahasiswa sebelum ini.
Memorandum Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berhubung salah guna kuasa pihak universiti dalam pilihan raya kampus pada Januari tahun lalu tidak dilayan.
“Bukan sekadar tidak memberi respons positif, bahkan menteri tidak langsung memberi respons terhadap semua tuntutan yang dibuat.”
Katanya lagi, pada tahun 2011 keadaan yang sama berulang apabila memorandum yang hampir sama tidak juga dilayan.
Selain itu, Khaled juga tidak menjawab surat jemputan Pro-M untuk berdialog pada 9 Februari lalu.
“Namun malangnya surat tersebut hanya dibalas dengan sms pada keesokan harinya yang menyatakan bahawa menteri KPT tidak mempunyai kelapangan untuk memenuhi undangan tersebut.
“Kami di pihak mahasiswa boleh menerima alasan yang diberi, namun dengan sekadar alasan seperti itu, kami merasakan sememangnya tidak ada kesungguhan di peringkat Menteri untuk menanggapi tuntutan mahasiswa secara serius,” katanya.
Sumber: Malaysiakini
0 comments:
Post a Comment