Arkib Blog

Monday, February 21, 2011

Peguam Anwar: Pakar gagal lapor DNA misteri di rektum, seluar Saiful


KUALA LUMPUR, 21 Feb — Peguam pembela Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mencetuskan keraguan terhadap laporan profil DNA disediakan pakar kerajaan dengan mendakwa dokumen itu gagal menyertakan dua lagi profil DNA yang tidak dikenali.

Peguam Ramkarpal Singh mendakwa Dr Seah Lay Hong telah gagal untuk mematuhi garis panduan antarabangsa berhubung proses pemprofilan DAN dan oleh itu, laporan tersebut adalah bias.

Katanya, meskipun bacaan graf menunjukkan dua lagi profil DNA yang tidak dikenali pada bahagian rendah rektum Mohd Saiful Bukhari Azlan dan pada seluar hitamnya, Dr Seah tidak menyertakan maklumat pada laporannya.

Pakar itu setakat ini telah bersetuju bahawa ada tiga profil DNA melibatkan kes ini iaitu lelaki Y, satu profil DNA yang tidak dikenali dan satu lagi milik Saiful.

“Ia kelihatan DNA separuh pasukan bola sepak ditemui tetapi anda memilih untuk tidak melaporkannya,” kata Ramkarpal di mahkamah hari ini.

Ketika ditanya mengapa beliau tidak melaporkannya, Dr Seah berkata beliau tidak menemui bacaan yang signifikan.

“Bacaan tidak dilaporkan meskipun ia mempunyai bacaan yang tinggi,” kata Ramkarpal.

Beliau menggunakan prosiding sebelah pagi tadi untuk memeriksa balas kredibiliti laporan kimia disediakan Dr Seah.

Sambil menekankan laporan kimia itu tidak konsisten, peguam itu menambah, Dr Seah telah gagal untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Persatuan Antarabangsa Forensik Genetik.

“Beliau telah gagal mematuhi garis panduan yang penting. Saya menyentuh soal garis panduan di sini.

“Saya mengesyorkan kepada beliau beberapa senario yang memberikan satu gambaran berbeza daripada apa yang beliau syorkan,” kata Ramkarpal kepada pemberita kemudian.

Perbicaraan disambung pukul 2 petang tadi.

Jumaat lalu, Dr Seah memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Jabatan Kimia mempunyai garis panduannya sendiri untuk menjalankan analisis.

Dr Seah berkata walaupun pengeluar dan pembekal perisian memiliki garis panduan masing-masing, namun makmal boleh mengikuti garis panduan sendiri seperti yang disarankan oleh Persatuan Antarabangsa Forensik Genetik.

Saksi kelima pendakwaan itu memberitahu mahkamah bahawa sebagai anggota persatuan itu, beliau mengikuti perkembangan terkini dan saranannya terutama yang berkaitan pemprofilan DNA.

Dr Seah juga berkata beliau menggunakan perisian penganalisis biosistem genetik dan ‘DNA view’ bagi membantunya mendapatkan keputusan konklusif daripada sampel berkenaan.

Ditanya lanjut oleh peguam itu sama ada kedua-dua perisian tersebut selalu dikemas kini, Dr Seah berkata, kali terakhir ialah pada 2007.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan kes Anwar, 63, yang didakwa meliwat Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.



Sumber: The Malaysian Insider

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009