Berbekalkan fakta bahawa dalam sepuluh tahun yang lalu (2000-2010) purata peningkatan gaji di Malaysia cuma 2.6% berbanding 3.2% di peringkat antarabangsa, Pakatan Rakyat mengajukan persoalan-persoalan berikut berlatar cadangan kerajaan mengadakan dasar gaji minima melalui Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan (National Wage Consultation Council):
- Adakah badan penetapan gaji minima kebangsaan ini benar-benar bebas, mewakili semua pihak dan berwibawa, atau adakah ianya bakal diganggu-gugat campur tangan politik pihak kerajaan pusat sekarang?
- Adakah pihak kerajaan pusat sekarang sengaja menyimpan dari umum data dan maklumat penting - Laporan Guna Tenaga Kebangsaan, Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah, Laporan Penyiasatan Perbelanjaan Penggunaan Isi Rumah, Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh - dan jika benar, mengapa? Bukankah maklumat sedemikian patut boleh dibaca, dianalisa, dan dikaji badan penetapan gaji minima ini?
- Mengapakah Bank Dunia (World Bank) dilibatkan sebagai moderator dalam makmal gaji minima yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini? Apakah hubungan dan mandat yang diberi kerajaan Barisan Nasional kepada Bank Dunia berkenaan isu gaji minima? Dan berapakah jumlah wang ringgit rakyat yang dibelanjakan untuk penglibatan Bank Dunia ini?
Demi kepentingan rakyat, Pakatan Rakyat meminta kerajaan pusat sekarang membuktikan keseriusan mereka dalam isu gaji minima ini dengan:
1) mengakui bahawa badan penetapan gaji minima sedia ada telah dikompromi dan ianya gagal menetapkan dasar yang benar-benar mengutamakan pekerja bergaji rendah;
2) menubuhkan suatu suruhanjaya yang benar-benar bebas, mewakili semua pihak dan berwibawa yang akan menumpukan perhatian bagi mengkaji mekasnime yang mampu menetapkan gaji minima paling wajar dan adil bagi pelbagai sektor pekerjaan;
3) memberikan kesemua maklumat dan data yang diperlukan bagi melancarkan tugasan badan penetapan gaji minima ini, dan mengumumkan segala perjalanan perbincangan yang dilakukan badan ini;
4) menetapkan satu nilai gaji minima nasional yang tidak berdasarkan modifikasi mengikut sektor, dengan pelaksanaan beransur-ansur untuk industri kecil dan sederhana yang terlibat;
5) melaksanakan dengan serta-merta dasar gaji minima untuk setiap syarikat berkaitan kerajaan (government-linked companies), terutamanya buat pekerja-pekerja di peringkat paling bawah seperti pekerja estet, untuk menandakan kesanggupan politik (political will) Barisan Nasional dalam hal ini.
Maka dengan ini Pakatan Rakyat, seperti yang dijanjikan dalam Buku Jingga, menyatakan pendirian yang tak berbelah bagi untuk memperkenal gaji minima yang menyeluruh, wajar dan adil buat semua rakyat Malaysia.
YB Abdullah Sani (Ahli Parlimen Kuala Langat)
YB M Kulasegaran (Ahli Parlimen Ipoh Barat)
YB Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai)
YB Chua Tian Chang (Ahli Parlimen Batu)
YB Liew Chin Tong (Ahli Parlimen Bukit Bendera)
YB Dr Mujahid Yusof Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar)
0 comments:
Post a Comment