Arkib Blog

Thursday, February 10, 2011

Ahli Umno Didakwa Kebas Peralatan Dewan Orang Ramai


SHAH ALAM 10 FEB: Peralatan dewan orang ramai dan balairaya di Selangor bernilai RM385,000 dilarikan individu yang dikaitkan Umno-Barisan Nasional(BN), kata Exco Kerajaan Negeri, Xavier Jayakumar.

Menurutnya, kerajaan Selangor kesal dengan tindakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) semasa pentadbiran Umno-BN yang lepas kerana tidak mengambil tindakan sewajarnya melindungi harta awam yang disediakan kerajaan negeri untuk kegunaan orang ramai.

“Selepas Piliharaya Umum Mac 2008, beberapa orang individu, ahli Umno-BN setempat yang tidak bertanggungjawab di kampung-kampung berkenaan telah melarikan beberapa peralatan dewan dengan ‘pengetahuan’ JKKK ketika itu tapi malangnya mereka mengambil sikap tidak peduli ekoran pertukaran pentadbiran kerajaan negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara peralatan yang dilaporkan hilang ialah hampir kesemua kerusi plastik dewan, kerusi Banquet, alat penghawa dingin, kipas angin siling, kipas angin dinding, komputer, meja mesyuarat, meja lipat plastik, sistem bunyi, pembesar suara dinding, papan putih beroda dan lain-lain peralatan.

Katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) telah mendapatkan input dari 7 buah Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah seluruh Negeri Selangor tidak termasuk daerah Petaling, Sepang dan Sabak Bernam berhubung kehilangan itu.

Menurut Dr Xavier, mesyuarat Exco dimaklumkan anggaran jumlah keseluruhan kehilangan peralatan tersebut ialah sebanyak RM384,776.00.

“Kehilangan ini merupakan ‘tindakan jenayah’ terhadap harta awam dan kerajaan negeri bercadang untuk membuat laporan polis di setiap daerah yang terlibat dan berharap polis mengambil tindakan segera terhadap individu-individu yang tidak bertanggungjawap tersebut," tegas beliau.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009