SHAH ALAM 30 JAN : Jika kerajaan benar-benar ikhlas, maka apa yang perlu dilakukan ialah menurunkan kadar tol dan bukannya kekal pada tarif yang sama, kata ahli parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.
Katanya, tindakan itu sekaligus menunjukkan ketamakan kerajaan dalam membolot hasil cukai di samping menyajikan gula-gula politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
" Pengumuman untuk tidak menurunkan harga tol ini memang bertujuan menawan hati rakyat pada pilihan raya tetapi sebenarnya kerajaan silap. Sepatutnya kerajaan mengumumkan menurunkan tol kalau benar hendak ambil hati rakyat bagi tujuan pilihan raya," kata Azan.
Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Perdana Menteri, Najib Razak bahawa tiada kenaikan atau pun kekal pada kadar sedia ada untuk dua lebuh raya di negara ini.
Dua lebuh raya yang dimaksudkan ialah Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 1.
Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan penamatan konsesi tol untuk Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat yang menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught di Kuala Lumpur yang dijangka berakhir pada Mei ini.
Namun menurut Azan, pengumuman yang dibuat oleh Najib, langsung tidak mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat kerana jumlah yang perlu dibayar adalah jumlah yang sama.
Katanya, ia berbeza dengan polisi yang digariskan Pakatan Rakyat dalam janji 100 hari gagasan itu.
" Harga minyak akan diturunkan oleh kerana kita antara pengeluar minyak utama dalam dunia dalam sektor kita sendiri dan kita juga mempunyai kemudahan jalur jalan raya yang sepatutnya tidak membebankan rakyat. Cerita tentang tol, mana ada orang fikirkan tol sebagai sumber kerajaan menjana ekonomi. Tidak ada! Tidak ada di mana-mana negara pun," bidas beliau kepada agenda kerajaan yang lebih mementingkan kantung negara lalu membebankan rakyat.
Malah menurut Azan, beliau tidak hairan sekiranya tol antara penyumbang kepada dakwaan Global Financial Integrity (GFI) bahawa Malaysia antara negara tertinggi menyumbang kepada aliran keluar dana haram.
" Saya rasa ini adalah jumlah-jumlah yang perlu disiasat kerana jumlah ini menyumbang kepada RM888 bilion, wang disebut oleh GFI. Ada kaitannya dengan tol selain daripada petroleum," tambah beliau.
Menurut Azan, hal ini berlaku melalui apa yang dipanggil "kick back", apabila keuntungan bawah meja diterima oleh pihak yang berkepentingan, walaupun di atas kertas, ia adalah nilai yang dibayar kepada sesebuah syarikat yang bertanggungjawab.
" Dalam isu tol ini sebenarnya ialah isu pembinaan lebuh raya, isu konsesi, isu subsidi yang diberikan kerajaan kepada pemegang konsesi. Itulah isu sebenar. Dan jumlah yang disumbang itu balik semula kepada mereka.
" Maknanya bayar kepada orang tetapi orang itu akan bayar balik melalui bawah meja. Isu "kick back" yang boleh menyebabkan aliran wang keluar negara.
" Setiap bayaran akan dibayar kepada konsesi, pembuat projek,pelaksana projek, yang berlebihan itu, sebagai contoh, harga sepatutnya RM10 tetapi kerajaan putuskan bayar RM15, RM5 itu akan dibayar balik kepada orang-orang yang berkepentingan," jelas Azan lagi.
Justeru katanya, akibat dari ketakutan dengan polisi terbaru Pakatan Rakyat yang digariskan dalam Buku Jingga, kerajaan bertekad untuk meraih semula keyakinan rakyat.
" Sebab itu apabila kerajaan umum tidak ada kenaikan tol dalam masa 5 tahun, itu membayangkan ketakutan dia apabila membayangi Pakatan Rakyat sudah dapat menghidu kebenaran perkara ini dan oleh kerana kita dapat menghidu, kita juga dapat melaksanakan satu sistem yang lebih memberi kebaikan kepada rakyat dengan cara tidak membebankan rakyat dari segi bayaran tol.
" Walau pun dia (kerajaan) tahu, kita syak dia buat begitu, dia kata, janganlah kita turunkan.Setakat umum, tidak naik, sudahlah.Maknanya ketamakan itu, sampai mati pun dia tamak lagi," kata Azan kepada Tv Selangor.
Sumber: TVSNEWS
0 comments:
Post a Comment