AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Friday, January 14, 2011

PKR Kecewa Najib Tolak Debat Dengan Anwar


SHAH ALAM 14 JAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) kecewa dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak pelawaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membahaskan kemampuan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) melaksanakan Program 100 Hari Pakatan Rakyat.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nor Manuty bagaimanapun berkata Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah memutuskan tawaran debat Anwar kepada Najib masih terbuka dan Pakatan bersedia untuk mempertimbangkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Najib bagi mengadakan perbahasan tersebut.

"Pelawaan Anwar dibuat bagi membolehkan rakyat menilai dakwaan Najib bahawa Program 100 Hari yang dimuatkan dalam Buku Jingga adalah populis dan akan memufliskan negara," jelas beliau.

Beliau berkata, Anwar turut memuatkan pendedahan bahawa perbelanjaan kira-kira RM19 bilion untuk melaksanakan Program 100 Hari adalah jauh lebih kecil berbanding dengan subsidi korporat yanng diberi kepada penjana kuasa bebas (IPP), syarikat konsesi tol serta jumlah wang yang lenyap melalui pembaziran, kebocoran dan rasuah yang diannggarkan berjumlah kira-kira RM51 bilion setiap tahun.

Pada masa yang sama, beliau berkata PKR juga turut menerima jemputan daripada Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kepada Anwar untuk membahaskan Program 100 Hari Pakatan Rakyat.

"Pelawaan asal Anwar selaku Ketua Umum PKR dan Ketua Pembangkang adalah kepada Najib. Namun atas semangat mengadakan wacana umum bagi menilai tawaran PR, PKR menawarkan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli untuk berbahas dengan Khairy," kata beliau lagi.

Dr Nor Manuty menjelaskan, Rafizi selaku pemimpin muda merupakan lawan yang sesuai untuk Khairy. Beliau merupakan jurutera, akauntan bertauliah serta pernah menjadi Pengurus Kanan Petronas dan Pengurus Besar di Pharmaniaga.

"PKR berharap agar Khairy bersetuju untuk perbahasan tokoh-tokoh muda sebagai pembuka tirai kepada perbahasan utama antara Najib dan Anwar. Kita berharap agar lebih banyak wacana politik berbentuk ilmiah dan intelektual dapat diadakan bagi memberikan peluang kepada rakyat untuk membuat penilaian yang sewajarnya," kata beliau.

Beliau menambah amalan mengadakan perbahasan umum sebegini jauh lebih baik berbanding amalan membakar buku yang menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009