Oleh itu kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar, berdiri) tuduhan Umno bahawa Pakatan Rakyat membelakangi Sultan dalam pindaan perlembagaan hari ini tidak masuk akal dan tidak munasabah sama sekali.
“Saya ingin bertanya: adakah Umno meminta perkenan Sultan sebelum meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor pada Mac 1993? Bukankah ia dilakukan secara senyap-senyap?” kata beliau pada sidang khas Dewan Undangan Negeri hari ini.
Justeru kata beliau, adalah sangat lucu dan tidak masuk akal apabila mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa perkenan Sultan adalah perlu untuk kelulusan Rang Undang-Undang sedangkan beliau sendiri yang meminda peruntukan berkenaan dan memadam kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja.
“Begitu juga dengan kenyataan Timbalan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar pada 7 Januari yang menuduh Pakatan Rakyat gila kuasa dan tidak mungkin berjaya melakukan pindaan kerana tiada perkenan istana.
“Kepemimpinan Umno Selangor agak berdolak dalik umpama lalang; mula-mula mengugut mahu memboikot, selepas itu mahu hadir dengan bersyarat pula,” katanya sambil berkata, “apa-apapun, kita menerima kehadiran mereka sama ada yang jahil mahupun yang ada sedikit ilmu.”
Sejak mengambil alih kerajaan negeri pada Mac 2008, ini kali pertama DUN membahaskan usul pindaan perlembagaan negeri untuk kembali ke kedudukan sebelum 1993.
Perkara 52(1) yang asal berbunyi, “Ke bawah Duli Yang Maha Mulia mestilah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dengan Suratcara di bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa dalam perkhidmatan awam untuk menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Dengan syarat sebelum bertindak atas cadangan itu oleh Suruhanjaya Perkhidmatanyang berkenaan, ke bawah Duli Yang Maha Mulia mesti mempertimbangkan nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujukkan cadangan itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula.”
Pindaan yang dilakukan pada 1993 dan terpakai sehingga kini berbunyi, “maka hendaklah diwujudkan jawatan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri; dan pelantikan ke jawatan-jawatan itu hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.”
Syor pindaan dibawa hari ini ialah “Duli Yang Maha Mulia hendaklah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dengan suratcara di bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa di dalam perkhidmatan awam masing-masingnya untuk menjadi Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Dengan Syarat sebelum bertindak di atas cadangan Suruhanjaya Perhidmatan yang berkenaan, Duli Yang Maha Mulia hendaklah mempertimbangkan nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujuk balik cadangan tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula.”
Bertolak daripada itu, kata Khalid, memandangkan kedaulatan Raja-raja turut diperkatakan dan tohmahan derhaka begitu kerap dilemparkan terhadap Pakatan Rakyat, maka menjadi tanggungjawabnya untuk menyatakan dulu perkara yang sebenar.
“Bagi maksud tersebut izinkan saya mengimbas kembali secara ringkas konflik antara Umno dengan Raja-raja sejak awal 1980-an lagi.
“Secara ringkas, Krisis Perlembagaan 1983 berlaku akibat tindakan para pemimpin negara ketika itu, melakukan beberapa tindakan di luar adab dan peruntukan Perlembagaan itu sendiri, dalam perkataan lain, mereka begitu tega membelakangi Raja-Raja,” katanya.
Kata Khalid, Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan berbunyi, “tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja boleh diluluskan dengan ketiadaan persetujuan Majlis Raja-raja.
“Bagaimanapun, para pemimpin utama ketika itu lantas melakukan beberapa tindakan secara rahsia dengan membawa pindaan itu ke Kabinet dan kemudiannya ke Parlimen tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-raja,” katanya.
Kata Khalid, antara pindaan yang berjaya dilakukan adalah Perkara 66(5) di mana peruntukan asal berbunyi, “Rang undang-undang akan dikuatkuasakan apabila Yang di-Pertuan Agong menandatangani.”
“Peruntukan pindaan pula adalah rang undang-undang akan dikuatkuasakan sebagai undang-undang apabila ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong. Jika di atas apa-apa sebab rang undang-undang itu tidak ditandatangani dalam tempoh 15 hari selepas rang undang-undang itu disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, baginda dianggap telah menandatangani rang Undang-undang tersebut dan rang undang-undang itu, berkuat kuasa sebagai undang-undang,” katanya.
Katanya, begitu juga dengan pindaan kepada Perkara 10(1) iaitu kalau perdana menteri mendapati darurat patut diisytiharkan di mana-mana juga di negara ini, maka beliau boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertuan Agong mesti menerima nasihat tersebut.
“Di sinilah bermulanya penghakisan secara terancang terhadap kuasa Raja-raja di negara ini, bermula pada pindaan tahun 1983 itu.
“Pindaan yang amat drastik itu sudah dilakukan secara rahsia dan membelakangi Majlis Raja-raja. Namun, apabila rahsia terbongkar ia ditentang oleh Raja-raja, Umno pada ketika itu membuat ‘road show’ ke seluruh negara mengutuk Raja-raja,” katanya.
Kata Khalid, setelah membuat beberapa rundingan krisis itu diselesaikan dengan beberapa kompromi iaitu Umno bersetuju menggugurkan pindaan yang sudah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara itu, Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa memulangkan rang undang-undang yang baginda tidak berkenan kepada Parlimen, pindaan terhadap kuasa perkenan di negeri-negeri digugurkan dan kuasa mengisytiharkan darurat dikembalikan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Langit tidak selalunya cerah. Mendung tidak bererti hujan. Umno terpaksa berlindung dan memohon belas ihsan istana apabila menghadapi masalah politik beberapa tahun kemudian iaitu apabila Umno diisytiharkan pertubuhan haram oleh mahkamah pada 1987.
“Pimpinan Umno lantas kembali merayu kuasa Sultan untuk menubuhkan Umno Baru dan memohon Sultan Johor untuk melancarkannya di Istana Besar Johor Baru.
Bagaimanapun, katanya, hubungan Umno dengan istana tegang semula apabila ia tersungkur 39-0 di Kelantan pada pilihan raya umum 1990.
“Ibarat kacang melupakan kulit, Perhimpunan Agung Umno dijadikan medan memaki hamun Raja-raja.
“Ada perwakilan yang meminta Perlembagaan dipinda untuk membataskan kuasa Raja-raja. Tetapi ia tidak berlaku kerana mereka tidak tahu peruntukan mana yang hendak dipinda,” kata Khalid dalam usul pembentangan panjang lebar mengimbas perkembangan politik negara sejak tiga dekad lalu.
Namun begitu, jelas Khalid, Umno memaksa Raja-raja membuat aku janji dan lahirlah apa yang disebut sebagai “Perisytiharan Prinsip-Prinsip Perlembagaan 1992”.
“Bagaimapun, ini hanyalah penegasan dan komitmen Raja-raja terhadap peruntukan-peruntukan yang berkenaan; tidak ada apa-apa pindaan yang dibuat,” katanya.
Hubungan tegang Umno dengan Raja-raja memuncak pada hujung 1992 hingga membataskan peruntukan mengenai kuasa mengampun Raja-raja dan keistimewaan imuniti dan membawa kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan 1993 dan penubuhan Mahkamah Khas.
Katanya, ketika krisis itulah Umno menggunakan kesempatan untuk membuat pindaan yang tidak ada kena-mengena dengan isu yang menjadi punca terhadap masalah ketika itu, termasuklah pindaan pada perlembagaan negeri Selangor.
“Di kesempatan ini, saya suka mencadangkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, terutama daripada Umno-BN supaya membaca kembali pelbagai berita dan rencana tentang krisis Perlembagaan yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times dari November 1992 hingga Mac 1993.
“Ketahuilah, siapakah yang “beriya-iya dan bersikap biadap” hendak menghakis kuasa istana dan menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu?” katanya.
Khalid juga memetik kenyataan Dr Mahathir ketika pembentangan usul pindaan pada 18 Januari 1993 yang selepas itu, menurutnya telah memungkiri janji tersebut.
“Tun Mahathir ketika itu menyatakan, ‘kelulusan (pindaan Perlembagaan 1993) secara ini terhad kepada perkara- perkara yang tidak menyentuh hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan Raja-raja. Untuk meminda peruntukan Perlembagaan yang menyentuh Raja-raja, Majlis Raja-raja perlu memberi persetujuan’.
“Kata beliau lagi, ‘di peringkat negeri, tidak ada pindaan dibuat kepada Perlembagaan negeri. Dengan itu tidak ada undang-undang yang boleh diluluskan tanpa ditandatangani oleh Raja. Ini bermakna kuasa Raja-raja di negeri-negeri mengatasi kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri yang mewakili rakyat’,” kata Khalid.
Khalid seterusnya berkata, pada 1994 Dr Mahathir memungkir janji dan formula yang menyelesaikan krisis 1983 dipinda di luar pengetahuan Raja-raja.
“Menurut pindaan ini, kuasa memulangkan rang undang-undang oleh Yang di-Pertuan Agong dimansuhkan dan peruntukan yang mencetuskan krisis 1983 itu dimasukkan kembali.
“Dengan yang demikian, peruntukan yang ada sekarang, iaitu Perkara 66(4) dan (4A) — adalah sebuah rang undang-undang yang menjadi undang-undang secara automatik selepas 30 hari meskipun baginda tidak memberi perkenan,” katanya.
Kedudukan Raja-Raja di negeri-negeri juga sama sebagaimana yang tertera pada seksyen 11(2A) dan (2C), Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.
“Pindaan-pindaan ini menimbulkan banyak persoalan politik dan undang-undang. Ia termasuklah pelanggaran syarat yang dikenakan oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan iaitu ia dengan jelas menyatakan bahawa ‘tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-raja’.
“Perkara 38(4) itulah yang menjadi batu penghalang kepada hasrat Dr Mahathir pada 1983 dan 1993 dan mungkin kerana itulah beliau tidak peduli dan tidak membawa pindaan 1994 itu kepada Raja-raja.
“Meskipun pindaan 1994 belum dibawa ke mahkamah, namun ada kalangan sarjana undang-undang yang berpendapat bahawa pindaan yang dibuat pada 1994 itu tidak sah kerana melanggar Perlembagaan, khususnya Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Khalid seterusnya menambah, meskipun diketahui bahawa Dr Mahathir sudah menjadi dan menerima sejarah, namun ia tidak menghalang “kita daripada berasa aneh” kerana hari ini bekas perdana menteri itu tiba-tiba menyatakan pendirian yang berbeza.
“Bagaimanapun, ini tidaklah begitu memeranjatkan apabila kita mengimbas kembali pergolakan politik yang dinyatakan tadi.
“Umno sememangnya sentiasa berdolak-dalik dan tidak konsisten dan acap kali berselindung di sebalik istana apabila berlaku himpitan politik,” kata menteri besar dari PKR ini.
Sumber: Malaysian Insider
0 comments:
Post a Comment