AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Monday, December 20, 2010

MCA main sentimen perkauman - Guan Eng


GEORGETOWN, 20 Dis: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, membidas MCA kerana cuba menjuarai masyarakat Cina dengan memainkan sentimen perkauman bagi meraih sokongan yang semakin lama semakin pudar terhadap mereka dan juga Barisan Nasional (BN).

Mengulas kenyataan Timbalan Bendahari MCA Selangor, Lee Ban Seng yang mendakwa Kerajaan Pulau Pinang tidak melaksanakan pemberian tender secara telus bagi semua projek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ekoran 100 peratus nilai projek diserahkan kepada kontraktor Melayu yang layak, Lim menegaskan dakwaan tersebut berunsur perkauman.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, oleh kerana mempunyai kepentingan politik maka MCA melempar tohmahan dan fitnah dengan mengaitkan isu ini sebagai satu isu murahan mereka.

"Sebelum ini Umno mendakwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai anti Melayu. Kemudian MCA pula menuduh kita sebagai anti Cina. Hakikatnya kita yang menerajui kerajaan tidak menjadikan perkauman sebagai modal politik.

"Kita tidak anti kepada mana-mana kaum kecuali BN yang ditentang kerana sikap mereka yang sering mempolitikkan isu dan sentimen kaum untuk kepentingan politik mereka, " ujarnya.

Lim menjelaskan, Kerajaan Negeri tidak melaksanakan dasar berasaskan kepada kaum dan memilih bulu atau kronisme, tetapi pemilihan adalah berdasarkan kepada kredibiliti dan kepakaran serta kualiti tugas yang pernah dan akan dilaksanakan oleh kontraktor yang diberi kepercayaan.

Baru-baru ini Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang (PKMM), Datuk Mohamed Fadzill Hassan mendakwa Kerajaan Negeri tidak menyatakan jumlah nilai projek dan tender dengan benar.

Ekoran itu Lim mendedahan bahawa 100 peratus projek JPS serta 98 peratus projek Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri di bawah peruntukan Kerajaan Pulau Pinang diberikan kepada kontraktor Melayu yang layak.

Manakala 18 tender JPS yang bernilai RM40.94 juta juga dianugerahkan kepada kontraktor Melayu yang mempunyai kepakaran seperti mana yang dikehendaki. Sementara itu 16 dari 17 tender JKR yang bernilai RM20.4 juta turut diberikan kepada kontraktor Melayu membabitkan 98 peratus nilai projek.


Sumber: HarakahDaily

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009