AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, November 2, 2010

Tidak Ada Alternatif Kepada Barisan Nasional Selain Pakatan Rakyat

Boleh Datuk terangkan sebab-sebab mengapa keluar Umno?

Saya pengasas Umno di Sabah, Ketua Penerangan Umno Sabah, saya juga dilantik Senator mewakili Umno serta pernah menjadi Naib Presiden Usno.

Apa yang dijanjikan kepada kami ketika menyertai Umno. Pada 1976 Usno kalah, 1981 tinggal tiga kerusi, 1985 16 kerusi, 1986 pula 12 kerusi, jadi ciri-ciri ini tidak membolehkan Usno berkuasa lagi.

Jadi sayakan kita hanya berboleh berkuasa melalui Umno dengan meresapkan Usno ke dalam Umno dan saya janji kepada Usno ketika itu dua perkara melalui Umno iaitu berkuasa dan dijaga.

Sebelum itu selepas pilihan raya 1985 kita ada persetujuan dengan PBS (Parti Bersatu Sabah) untuk menumbangkan Berjaya tetapi apabila Berjaya tumbang, PBS khianat kepada Usno tidak menunaikan janji.

Pada 1990 pula PBS khianat kepada Barisan Nasional dan dalam 1994 apabila Usno sudah berkumpul di dalam Umno dan lawan PBS, 'kapal' PBS pecah. Pairin dan kawan-kawannya berada dalam air hampir nak mati tapi Umno pergi 'kahwin' dengan PBS dan letakkan balik Pairin dan kawan-kawan di kapal besar BN sementara kami di suruh duduk di hujung 'dapur'. Oleh sebab saya pengasas Umno di Sabah, apa yang boleh saya katakan, seperti kita kahwin orang jalang, apa yang diberitahu ibu bapa kita. Takkan nak beritahu suami saya, isteri saya orang jalang, sudah tentu akan dipuji hingga ke langit. Tetapi kalau benar suami atau isteri kita jalang, tidak pelihara kita, tidak tunai janji
akhirnya akan meletup juga. Bila meletup bercerai, itulah 18 Oktober saya umumkan saya keluar dari Umno.

Yang pasti saya sudah bercerai dengan Umno, pada saat saya buat pengumuman itu ramai bekas ahli-ahli Usno hubungi saya dan lantik saya sebagai penasihat, mereka mahu hidupkan semula Usno. Parti Keadilan Rakyat pun ajak saya sertai mereka, Sapp (Parti Maju Sabah) pun begitu, jadi tindakan saya keluar Umno memberi kesan begitu besar di Sabah tanpa mengira bangsa, agama kerana saya hanya perjuangkan apa yang sepatutnya kepunyaan Sabah.

Minyak kami hanya dapat lima persen, itu harta kami tapi saya katakan beri kami 20 persen.

Apa pandangan Datuk terhadap prinsip perjuangan Pakatan Rakyat yang juga menjanjikan royalti minyak 20 persen kepada Sabah dan Sarawak?

Itulah saya katakan tadi, buah itu berduri, cium bau durian, rasanya pun rasa durian, perlukah akhirnya saya cakap ini durian, tidak perlu. Orang semua tahu.

Kalau saya minta minyak naik daripada 5 persen kepada 20 persen, kalau saya minta siapa yang memerintah (kerajaan pusat) hari ini, besok turunkan harga minyak, saya minta otonomi, saya minta Usno dihidupkan semula, kalau Pakatan Rakyat kata daripada 28 permintaan saya itu, mereka bagi 10 saya ikut. Permintaan saya ini tidak mungkin Barisan Nasional bagi, itu antara sebab saya keluar. Kalau dia (BN) nak bagi hidup (semula Usno) tenntu dia sudah beri hidup, kalau dia nak beri minyak, sudah berpuluh tahun (kami menunggu). Jadi sebab saya keluar dari BN - untuk perubahan.

Kenapa Datuk ambil masa yang panjang untuk keluar Umno?

Saya orang tua, 'start' lambat tetapi sekali dah 'start' tak berhenti (ketawa). Sudah dekat 20 tahun, bukan tempoh yang lama dalam politik. Orang Usno minta saya buat kajian apa terjadi kepada orang-orang, pemimpin Usno setelah masuk Umno. Saya buat kajian dan kesimpulannya orang-orang Sabah tidak mahu Umno dan kedua minta dihidupkan semula Usno. Saya tanya mengapa mahu hidupkan semula Usno sebab kalau sudah sokong Umno tidak perlu lagi Usno. Mereka kata mahu hidupkan Usno kerana tidak mahu Umno. Mereka kata kepada saya, "Datuk yang 'responsible bawa Umno ke Sabah". Janjinya dulu dua perkara - kami berkuasa dan kepentingan kami dijaga tetapi apabila kami berkuasa kami disuruh duduk di dapur.

Pairin, Kurup, Dompok semuanya di letakkan di tempat yang mana kami pejuang-pejuang, kalau kamu duduk ditempat tinggi berilah kami duduk diatas bangku tapi tidak begitu, diketepikan sahaja. Jadi apabila kesimpulannya begitu, rupa-rupanya saya yang dilihat bertanggungjawab bawa Umno masuk dan janji kepada kami tidak dikotakan hampir 20 tahun. Semua pejuang-pejuang dan pemimpin Usno disingkir dan dipinggir oleh Umno.

Jadi pendam rasa hampir 20 tahun tapi selepas 18 Oktober saya dengar CNN pun laporkan berita saya keluar Umno, YB Anwar (Ibrahim) pun bangkitkan dalam Parlimen, jadi seluruh Malaysia keributan kerana pengasas, penaja, ketua penerangan Umno sabah keluar parti. Saya masih Pengerusi Nippon Paint, jadi kalau saya keluar sudah tentu saya kena 'potong'. Kalau 'potong' saya orang Melayu kenapa tidak pecat Timbalan Ketua Menteri orang Cian, dia juga keluar dari LDP dan jadi bebas.

Bekas anggota Usno kata kalau saya bertanggungjawab bawa Umno masuk sabah saya juga bertanggungjawab hantar Umno pulang. Apa perlu saya buat? Jadi misi saya sekarang kerana saya yang bawa datang, insyaAllah satu hari saya juga akan hantar Umno pulang.

Apa pandangan Datuk mengenai senario politik negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-13?

Di Malaysia cuma ada dua parti yang akan bertanding di pilihan raya umum akan datang iaitu BN dan Pakatan Rakyat, tidak ada parti lain. Yang boleh memerintah Malaysia cuma dua, BN atau Pakatan Rakyat.

Kalau mahu terus budaya cium tangan, angkat kaki, 'please stay with BN' tapi kalau mahu perubahan, 'reform' undilah Pakatan Rakyat. Bukan soal saya suka YB Azmin atau YB Anwar tapi isunya begini, kalau saya tidak mahu BN, Pakatan Rakyatlah pilihan saya, 'no choice' Kalau ada 'Parti Karim Ghani' saya undi parti itu (ketawa) tapi tidak ada 'third force', cuma dua ini sahaja. Panggillah apa konsep sekali pun, sistem dua parti atau apa sahaja tapi hakikatnya dua sahaja pilihan rakyat Malaysia - BN atau Pakatan Rakyat.

Anggota parti seperti Sapp, mereka parti negeri. Kalau ditakdirkan mereka memerintah, dia nak sekolah, dia nak minyak, dia nak hospital dia terpaksa minta daripada kerajaan 'federal' tapi kalau dia tidak selari satu tim dengan kerajaan 'federal' jadi macam Kelantan waktu belum ada Pakatan Rakyat, seperti PBS waktu belum dalam BN.

Jadi saya minta orang Sabah khususnya dan rakyat Malaysia, kalau mahu 'business as usual', mahu angkat kaki cium tangan, please duduk dengan BN. Mahu perubahan sokonglah Pakatan Rakyat. Itu sahaja, tidak payah gaduh, tidak payah maki hamun. Dalam kajian saya, dulu di Semenanjung kalau kita cakap pasal PAS depan orang Cina terus mereka palingkan muka tapi sekarang mereka kata 'we don't care, Cina, India, Kadazan ke, kalau BN lawan Pakatan Rayat, kita akan sokong Pakatan Rakyat'. 'The wind of change have come'.

IMG_3260Sebagai tokoh politik yang disegani di Sabah, apa peranan yang akan dimainkan Datuk setelah keluar daripada Umno?

Saya mahu sabah juga sealiran dengan kerajaan 'federal'. Oleh sebab saya tidak mahu lagi kerajaan BN, ke mana saya hendak pergi, ke mana saya hendak minta rakyat Sabah sokong? Saya sudah tinggalkan BN sudah tentu saya akan minta rakyat sokong sebelah sana (Pakatan Rakyat). Sekarang ini tidak ada lagi parti yang mampu memerintah Malaysia kecuali Pakatan Rakyat - kalau tidak mahu masuk KEADILAN, bole masuk PAS, tidak mahu PAS masuk DAP asalkan jangan kita gaduh sama sendiri. Boleh puji PAS bagus KEADILAN, DAP bagus tapi jangan kata sesama sendiri, yang tidak bagus hanya BN.

Apa pandangan Datuk peranan Usno sekiranya parti itu berjaya dihidupkan semula?

Fakta pertama yang harus kita ingat 95 peratus ahli umno di Sabah sekarang adalah bekas ahli Usno. Yang saya dijanjikan iaitu berkuasa dan dijaga tidak ditunaikan BN. Kalau Usno dihidupkan apa akan jadi kepada Umno, sudah tentunya mati. Jadi saya fikir tidak ada orang akan beri senjata untuk bunuh dirinya sendiri. Kemungkinan Usno dihidupkan tipis, tidak mungkin di bawah BN tetapi kalau semangat perjuangan dan prinsip Usno itu betul, tidak ada siapa boleh jel dia, kunci dia, Usno akan terus hidup. Bekas ahli Usno minta Pakatan Rakyat hidupkan semula Usno, kembalikan Amanah Saham Sabah. Saya katakan kalau hari ini Pakatan Rakyat memerintah, rakyat Sabah boleh datang ambil sijil saham itu. Beza dengan amanah saham Tun Mustapha dulu, kali ini amanah saham Sabah akan beri sijil kepada setiap rakyat Sabah yang berumur 18 tahun ke atas. Duit cukup sebab ada 20 persen royalti minyak, tidak ada masalah langsung pasal duit.

Apa gesaan Datuk kepada bekas ahli Usno yang berada dalam Umno?

Saya datang ke Sandakan untuk pilihan raya kecil dan di Sandakan saya akan katakan hanya dua sahaja parti yang boleh memerintah. Saya sudah tinggalkan BN dan siapa yang boleh tawarkan apa yang saya minta untuk Sabah itulah yang saya minta rakyat Sabah sokong. Saya tidak mahu bertaekwando tapi mahu bersilat. Bila kita bersilat kita gunakan tenaga musuh untuk mengalahkan musuh.

Apa pandangan Datuk berhubung ucapan Presiden Umno pada Perhimpunan Agung parti itu yang lalu?

Bagi saya ucapan Datuk Seri Najib itu yang membangkitkan isu mempertahankan hak Melayu, raja Melayu tapi pelikmya saya tidak pernah dengar KEADILAN atau DAP atau PAS kata mereka mahu hapuskan hak istimewa Melayu, hak Raja, agama, tidak pernah saya dengar sekalipun. Jadi kenapa Najib mahu teriak-teriak pasal apa? Najib bangkitkan soal perkauman yang sudah tidak laku, orang Sabah sudah tidak mahu dengar, apa yang mereka mahu dengar adakah royalti minyak akan dinaikkan, mahu bagi otonomi atau tidak, kami tidak mahu mahu Ketua Menteri di cucuk hidung seperti apa yang berlaku sekarang, kami mahu pilih Ketua Menteri sendiri yang sealiran dengan kerajaan yang kita pilih. Saya nampak di Malaysia, Umno sudah mati. Umno bagai bunga yang cantik, manis, kembang, disembah oleh semua orang. Bunga yang kembang akan kuncup, yang kuncup akan kereput, yang kereput akan kering dan yang kering akan mati. Umno yang dulu kuat, disembah dan tidak ada orang berani lawan kemudiannya berpecah dua dengan PAS. Kalau dalam pilihan raya kawasan itu 'solid' pengundi Melayu PAS menang. Umno dan BN hanya boleh memang kalau ada 35 persen Cina dan India. Lepas itu KEADILAN wujud, orang Melayu pun masuk KEADILAN, kebanyakannya dari Umno, jadi Umno kuncup lagi. Bila Cina dan India tinggalkan Umno, mati tak Umno? Jadi di Semenanjung Umno sudah mati!

Di Sabah katakan kepada rakyat, " Kalau kapal isu sudah pecah, kamu mahu tunggu lagi? Kalau kamu tunggu jangan salahkan orang kalau kamu mati". Ini saya cakap daripada pengalaman saya. Pada tahun 1975 saya pegawai tinggi kerajaan (Setiausaha Tetap Kementerian), bila Usno dipecah belahkan oleh Tun Razak, saya bilang Usno akan mati dan akhirnya benar-benar mati. Begitu juga di Semenanjung, Umno sudah mati atas sebab yang saya katakan tadi.

Umno selalu berkata, "Melayu bersatu, bersatu!" Atas alasan apa? Kalau Melayu itu bersatu dalam KEADILAN atau bersatu dalam PAS pernah dengarkah kita mereka mahu hapuskan hak Melayu, Sultan, agama? Jawapannya tidak ada. Retorik-retorik begini kalau kita fikir memang bunyinya bagus. Bersatu, bersatu memang ada dalam Islam, Islam suruh kita bersatu tetapi tidak ada dalam Islam suruh kita bersatu dalam Umno atau PAS. Tetapi kalau orang Melayu bersatu dalam KEADILAN atau PAS apa yang terkandung di dalam Perlembagaan tidak boleh terkacau. Tetapi Perlembagaan sekalipun siapa kata tidak boleh dipertikai. Kalau ada dua pertiga majoriti boleh dipersoalkan, ini bukan Al Quran, ini kita tidak boleh persoalkan.

Yang penting kerajaan yang akan ditubuhkan itu stabil. Kalau Pakatan Rakyat memerintah, mahukah orang Melayu dalam Pakatan Rakyat katakan, "hapuskan hak Melayu, Bahasa Melayu, Sultan? 'No way' mereka akan berbuat demikian. Kalau BN memerintah bolehkah mereka mengatakan, "kami mempertahankan matahari naik dan timbul, kami berjuang biar pun nyawa habis kami akan pertahankan. Itu retorik yang bagus didengar tapi kalau kamu tidak pertahankan matahari tetap naik dari timur. Begitu juga di Malaysia sudah termaktub di Malaysia dalam Perlembagaan hak-hak orang Melayu, tidak boleh digugat.

Adakah Najib kini terlalu 'desperate' sehingga terpaksa berucap dalam nada yang demikian?

Ya, terlalu 'desperate', antaranya mahu bikin lagi dua menara. Menara sekarang pun saya dengar kosong, sekarang mahu bikin lagi menara RM5 bilion. Nanti bila 'negotiate' kontrak bukannya' negotiate down' tetapi 'negotiate up'. Dalam Umno-BN ada budaya, ada sistem, ada praktik. Pemimpin-pemimpin termasuk Najib berkata, "the change in leaders only result in the change of style', sistem, budaya, praktik tetap sama. Sistem nepotisme, kronisme, korupsi; budaya cium tangan angkat kaki tidak akan berubah. Kalau mahu berubah semua ini satu sahaja iaitu alternatif kepada BN ialah Pakatan Rakyat.

Pada pandangan Datuk sejauh mana BN yakin menghadapi PRU-13 nanti?

Saya dengar ada ura-ura nak bubarkan Parlimen awal tapi kalau BN bubarkan Parlimen, saya yakin Pakatan Rakyat tidak akan bubarkan Dewan Undangan Negeri di mana ia berkuasa. Ini satu dilema. Kalau BN bubarkan Parlimen tetapi negeri Pakatan Rakyat tidak turut bubar masa itu Ketua Menteri dan Menteri Besar Pakatan Rakyat masih berkuasa, jadim itu satu kemudaratan kepada BN.

Yang kedua, konsep 1Malaysia perlukan pilihan raya seluruh negara serentak tapi kalau nak serentak menjelang April DUN Sarawak mesti bubar, kalau Sarawak bubar tapi Parlimen tak bubar apa maknanya 1Malaysia? Kalau Sarawak bubar negeri Pakatan Rakyat bubar apa jadi dengan konsep 1Malaysia?

Sebab itu saya tidak setuju sama sekali kerana satu Malaysia 13 negeri. Waktu kita sertai Malaysia, satu Malaysia bukan 13 negeri tapi 5 wilayah - Sabah, Sarawak, Brunai, Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu. Jadi ada lima komonen - semuanya hak yang sama, perkongsian yang sama dan status yang sama kata Tunku Abdul Rahman. Kalau kongsi seratus peratus kami Sabah sepatutnya dapat 20 peratus. Bila Brunai tak ikut jadi setiap satu komponen ada saham 25 peratus dan bila Singaoura kena tendang, sepatutnya kami dapat 33 peratus tapi dalam konsep 1Malaysia bila ada 13 negeri, pembahagiaan sudah jadi pak pandir, pembahagiaan bujang lapuk - satu Sabah, satu Sarawak , 11 Semenanjung. Ini bukan yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak. Keranna itu saya minta kita kembali kepada semangat 1963, saya tidak minta satu sen lebih atau satu sen kurang.

Saya tahu kerana saya terlibat dalam proses penilaian samada mahu sertai Malaysia atau tidak dalam 'Cobbold Report'. Saya juga terlibat dalam menterjemahkan memorandum yang dikemukakan dan saya juta terjemahkan 'Cobbold Report', jadi saya tahu semua ini.

Masa itu Tunku janji disebabkan kita miskin, pernah dijajah dan tidak membangun, maka jika kita sertai Malaysia, Sabah dijanjikan bebas daripada penjajahan, kaya seperti Semenanjung dan juga maju seperti Semenanjung.

Tapi 47 kemudian kami yang paling miskin. Kami bukan miskin - kami ada kayu balak, minyak dan segalanya. Jadi Malaysia bagi kami adalah 'a failed promise as far as Sabah is concerned'. Ini mesti diperbetulkan sebab saya sayang Malaysia.

Saya percaya kalau Pakatan Rakyat memerintah, kalau 28 perkara yang saya tuntut, kalau 10 ditunai cukup bagus tapi 3 atau 4 pun alhamdulillah.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009