Arkib Blog

Tuesday, November 30, 2010

Isu Air: Kerajaan Pusat belakangkan rakyat Selangor


KUALA LUMPUR, 30 Nov – Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan agar gaji Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dipotong sebanyak RM10 di atas kegagalannya menguruskan dasar penswastaan dalam sektor berkaitan, secara tidak langsung telah membelakangkan masalah rakyat Selangor.

Beliau sewaktu mengemukakan usul berkenaan berkata, menteri tersebut gagal melaksanakan tarif yang dijanjikan dalam perjanjian konsesi penswastaan dahulu dan untuk mendapatkan pulangan yang telah mereka janjikan, kerajaan terpaksa sama ada membayar pampasan dan subsidi dengan mengorbankan wang rakyat.

“Contoh empat konsesi air di Selangor, tiga yang merawat, satu yang mengagih. Puncak Niaga, Splash dan Abbas yang mengagih dan Syabas yang merawat air manakala empat konsesi ini menanggung hutang RM6.4 bilion,” katanya dipetik daripada Harakahdaily,

Menurutnya juga, sehingga kini masalah penstrukturan air di Selangor gagal diselesaikan kementerian berkenaan.

“Pertikaian di Selangor sehingga kini setelah dua tahun lebih Selangor di bawah Pakatan, sehingga kini persoalan penstrukturan air tidak dapat diselesaikan.

“Nyata dalam perkara ini wujud kecenderungan yang menyaksikan masalah yang terbit kerana air tidak diurus secara baik padahal Span telah diwujudkan,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai audit yang tidak dijalankan dengan baik menyebabkan banyak berlakunya kepincangan.

“Kita masih tidak dapat melihat satu audit ke atas tadahan air yang seperti tidak diletakkan kepentingan. Semua air mentah sehingga kini tidak diurus tadbir dengan baik,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan, sekiranya menteri masih mahu memberikan penguruskan air kepada syarikat swasta khususnya di Selangor, ternyata mereka membelakangi rakyat.

“Jika kementerian masih bertegas untuk memberi kembali hak mengurus air kepada pihak swasta, khususnya di Selangor maka nyata menteri bersedia membelakangi rakyat dan tidak melindungi kepentingan umum,” katanya.

Usul itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) setelah dibahaskan.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (Pakatan) seramai 15 orang bagaimanapun bangun mempertikaikan keputusan itu bagi membolehkan undi belah bahagian diadakan.

Undi belah bahagian itu menyaksikan seramai 58 wakil BN tidak bersetuju manakala seramai 47 wakil Pakatan bersetuju.


Sumber: Selangorkini

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009