Arkib Blog

Thursday, November 18, 2010

BN Guna Jabatan Imigresen Sarawak Halang Pembangkang Buat Kunjungan


KUALA LUMPUR 18 Nov - Badan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) membidas keputusan kerajaan negeri Sarawak yang mengenakan syarat kepada salah seorang Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Jannie Lasimbang dan menganggap langkah itu sebagai sikap tidak toleransi terhadap usaha mempromosi dan mempertahankan hak asasi di negeri itu.

Suaram berkata dalam satu kenyataannya semalam sikap yang diambil oleh kerajaan negeri itu tidak memeranjatkan memandangkan rekod buruk di segi isu hak asasi manusia di Sarawak.

"Terdapat kes di mana warga Sarawak yang dinafikan hak untuk keluar negeri dan aktivis dari Semenanjung yang dihalang memasuki negeri itu.

"Persoalannya bagaimana ini boleh dikatakan selari dengan konsep 1Malaysia yang di war-warkan apabila warganegara sendiri dinafikan hak bergerak di dalam negeri dan juga ke luar negara?" tanya Pengurus Program Suaram, Tah Moon Hui.

Sungguhpun Suaram menerima hakikat bahawa Sarawak mempunyai dasar yang berbeza di segi peraturan imigresen hasil Perjanjian Persekutuan Malaysia 1963 namun hak ini tidak boleh disalah guna dengan sesuka hati oleh kerajaan negeri.

Dalam banyak kes kata badan itu tidak ada alasan rasmi diberikan apabila seseorang warganegara di halang memasuki Sarawak di kaunter imigresen.

"Kebanyakan individu hanya diberitahu secara tidak rasmi bahawa mereka disenaraihitamkan atas alasan penglibatan mereka dalam aktiviti anti-pembalakan atau kempen melindungi hutan Sarawak, sumber dan juga pribumi negeri itu.

"Dalam kes Jannie Lasimbang beliau diharamkan memasuki Sarawak atas sebab kunjungannya pada tahun 1994 atas misi kajian mengenai kaum Penan," tegas Moon Hui.

Suaram mendesak Suhakam menjalankan penyiasatan berhubung perkara ini terutamanya mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa jabatan imigresen negeri untuk menindas suara pembangkang.

Badan itu juga mahu kerajaan negeri Sarawak mengiktiraf hak semua rakyat Malaysia untuk bergerak secara bebas dan menghentikan amalan
menyenaraihitamkan individu tertentu daripada memasuki negeri itu.


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009