AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, September 14, 2010

Umno-BN Gagal Hayati Roh Islam Sebenar


BUKIT MERTAJAM 14 Sept - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar sikap Umno-Barisan Nasional dan media milik mereka kerana gagal menghayati roh sebenar tuntutan agama dalam isu yang membabitkan kesucian Islam kebelakangan ini.

Menurut Anwar, sepatutnya isu seperti doa mendapatkan hidauah bagi orang bukan Islam tidak sepatutnya dipolitikkan oleh Umno-BN semata-mata sebab mahu mendapat kembali sokongan rakyat.

"Sepatutnya kita yang menjadi pemerintah menunjukkan sikap keterbukaan yang digalakkan oleh agama dalam proses berdakwah kepada bukan Islam supaya mereka menerima Islam.

"Kita sewajarnya menjadi contoh kepada mereka yang tidak memerangi kita selama ini. Tunjukkan tauladan yang baik dan sikap yang mampu dijadikan ikutan.

"Namun begitu sikap ini tidak langsung dipamerkan oleh kepimpinan Umno dan BN bagi membawa masyarakat bukan Islam memahami kesucian agama Islam yang sebenar. Jika kita berjaya berdakwah kepada mereka sehingga mereka mampu menerima Islam maka ini adalah satu kejayaan yang besar," kata beliau semasa berucap dalam majlis meraikan anak qariah Kubang Semang, Bukit Mertajam sempena sambutan Aidilfitri di perkarangan Masjid Kubang Semang semalam.

Majlis meraikan anak qariah anjuran Pemuda Qariah Kubang Semang dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Kubang Semang adalah acara tahunan kali ke sepuluh.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menambah isu orang bukan Islam masuk ke dalam masjid baru-baru ini juga sengaja dipolitikkan oleh segelintir pihak yang merasakan itu adalah satu kesalahan besar.

"Apabila mereka tidak mempelajari sejarah Islam, maka pengetahuan yang tidak sampai ke tahap pemikiran mereka itu dianggap sebagai sesuatu yang benar walaupun sebenarnya Islam membolehkan bukan Islam untuk mendekati masjid," jelas Anwar.

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya yang turut hadir di majlis itu menegaskan isu tersebut sengaja digembar-gemburkan oleh pihak yang ingin mengambil kesempatan tetapi pada masa yang sama menonjolkan kejahilan mereka sendiri.

Beliau berkata sepatutnya menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menarik lebih ramai masyarakat bukan Islam untuk memahami dan mendekati Islam.

"Contoh yang baik dipertontonkan akan membuktikan bahawa Islam itu adalah yang terbaik dikacamata bukan Islam. Sebab itulah kita dapat bezakan dalam pemerintahan yang di bawa oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Pakatan Rakyat, masyarakat bukan Islam amat menggemari untuk mendekati dan memahami Islam.

"Ini adalah satu perkembangan yang sihat. Cumanya dalam isu memasuki masjid masyarakat bukan Islam perlu diberitahu mengenai adab dan tatasusila memasuki masjid. Kita yang menganjurkan program di masjid dan surau yang harus menceritakan apa yang dibenarkan dan ditegah semasa berada dalam masjid," kata Hashim.

Katanya lagi amalan tidak menghormati masjid berlaku dikalangan umat Islam semasa mengadakan majlis akad nikah.

Terdapat antara tetamu yang hadir tidak menutup aurat ketika acara akad nikah berlangsung.

Namun begitu perkara ini tidak menjadi satu isu kerana ia tidak disedari atas kejahilan masyarakat sendiri.


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009