Arkib Blog

Wednesday, September 1, 2010

Perkauman Tajaan Umno Semakin Galak Di Bawah Pentadbiran Najib


SHAH ALAM 1 Sept - Pentadbiran setahun jagung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memperlihatkan tahap ketegangan antara kaum dan agama serta sentimen perkauman yang jauh lebih membimbangkan daripada lima Perdana Menteri sebelum ini dalam sejarah 53 tahun negara merdeka.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata sambutan kemerdekaan tahun ini sepatutnya memberikan rasa bangga kepada semua rakyat Malaysia dengan slogan '1Malaysia Menjana Transformasi' tetapi pada hakikatnya prestasi Najib pada tahun pertama memegang jawatan amat mengecewakan.

"1Malaysia Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan oleh kerajaan Januari lalu menyatakan tujuan 1Malaysia adalah untuk menjadikan Malaysia lebih bagus, produktif dan berdaya saing dan akhirnya menjadi negara yang lebih baik di mana setiap warga Malaysia akan mendahulukan Malaysia sebelum bangsa dan agama masing-masing.

"Tetapi kesemua ini jatuh merudum apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muyhiddin Yassin berkata beliau seorang Melayu dahulu, kemudian baru Malaysia. Anehnya, tiada Menteri dalam Kabinet yang menyuarakan penentangan,' kata Kit Siang.

Kata beliau, GTP 1Malaysia juga menyatakan Malaysia telah memilih satu pelan yang unik dengan menitikberatkan pelbagai kaum dan memastikan keadilan untuk semua kekal seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Malaysia.

Tetapi kata beliau, tajuk utama berita sejak 24 jam lalu telah membuktikan keadaan sebaliknya seperti,'Perkasa menggesa mengekalkan pengetua yang berucap menghina kaum lain', 'Perkasa mahu semua warga bukan Islam dilarang memasuki masjid dan surau', 'Ibrahim Ali mendesak tindakan tegas diambil ke atas Teo kerana memasuki surau'.

"Semua ini tidak langsung mencerminkan 1Malaysia yang didakwa dibangunkan berasaskan Perlembagaan Persekutuan, dan melalui pelbagai undang-undang, polisi, Rukunegara, Visi 2020 dan Misi Kebangsaan," tegas Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Beliau menjelaskan minggu lalu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal konsep Bangsa Malaysianya sendiri semasa melancarkan Visi 2020 pada 1990 dan sembilan matlamat utamanya apabila beliau cuba menyamakan meritokrasi dengan unsur perkauman.

Katanya lagi, retorik terbaru ialah apabila Najib mengisytiharkan 'zero tolerance for racism' (tiada toleransi untuk perkauman) tetapi tidak ada pun tindakan diambil terhadap pengetua sekolah sehingga kini, dan slogan itu akan berakhir sebagai tema kosong sahaja.

"Slogan 'zero tolerance for corruption' (tiada toleransi untuk korupsi) juga akan berakhir sebagai sesuatu yang retorik, memandangkan korupsi semakin berleluasa, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula gagal mengambil tindakan setiap kali laporan diberi yang menyebabkan SPRM hilang segala penghormatan yang diberi oleh rakyat.

"Ke mana Malaysia setelah 18 bulan adanya 1Malaysia oleh Najib?," tanya Kit Siang lagi.


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009