Arkib Blog

Monday, September 6, 2010

MP PKR sokong Azmin tanding Timbalan Presiden

PETALING JAYA, 6 Sept: Dua Puluh Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap pencalonan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali sebagai timbalan presiden parti.

Sokongan itu dinyatakan dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh ahli Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.

Turut menyatakan sokongan sama, beberapa senator PKR yang juga disenaraikan dalam kenyataan itu.

Mereka mendakwa sokongan kepada Azmin yang juga Naib Presiden PKR sekarang ini adalah berdasarkan pengalaman dan pengorbanan yang dilakukannya sepanjang berada dalam parti.

Sehubungan itu, Azmin diyakini mampu bergandingan dengan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan berjaya memperkemas dan memperteguh parti menuju ke mercu kecemerlangan.

YB Azmin Ali merupakan tokoh kanan yang telah melalui pelbagai cabaran getir, termasuk diaibkan ahli keluarganya, dalam mengharungi gerakan massa reformasi rakyat.

"Dalam keghairahan pemimpin seangkatan meninggalkan perjuangan mengejar kebendaan dan jawatan, beliau tetap istiqamah, tabah dan pasrah meneruskan agenda membela rakyat," kata Kamarul ketika membacakan kenyataan itu.

Azmin bagaimanapun belum menyatakan secara rasmi bahawa beliau mahu bertanding untuk jawatan tersebut memandangkan panyandang kini, Senator Syed Hussein Ali belum menyatakan untuk melepaskan jawatan tersebut.

Mereka turut menyokong calon jawatan naib presiden di kalangan ahli parlimen yang berhasrat untuk mendapatkan jawatan tersebut pada pemilihan parti 2010 ini.

"Kami juga ingin memberi sokongan kepada tokoh lain yang telah membuktikan komitmen dan kemampuan mereka memikul tanggungjawab yang juga telah meluahkan hasrat untuk bertanding jawatan tersebut," katanya.

Justeru, akar umbi parti diseru untuk emmebri sokongan kepada semua ahli Parlimen yang bertanding dalam apa-apa jawatan di semua peringkat.

Turut hadir dalam sidang media itu, Zuraida Kamaruddin (Ampang), S Manikavasagam (Kapar) and Low Goh Burne (Kelana Jaya).

Kamarul turut berkata, pengumuman sokongan terhadap Azmin itu tidak bermaksud mereka menghalang individu lain yang berhasrat untuk bertanding jawatan sama.

"Kita tidak menghalang hak sesiapa untuk bertanding. Cuma kita menyarankan suara daripada ahli Parimen bahawa kita bersetuju beliau (Azmin) bertanding," kata beliau.

Pemilihan PKR akan berlangsung di antara 17 September hingga 21 November ini yang melibatkan 218 cabang dan lebih 400 ribu anggota parti.


Sumber: Harakah Daily

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009