AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, September 7, 2010

KM Sarawak: Tiada Tanda Taib Sedia Berundur


7 Sept - Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud kelihatan sudah bersiap sedia untuk menerajui BN Sarawak menghadapi pilihan raya negeri, walaupun beliau sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mungkin akan berundur apabila tiba masanya.

Pendapat ramai di Sarawak ketika ini ialah beliau sememangnya pemimpin untuk Sarawak ketika ini.

Seorang penulis terkenal Amerika Denis Waitley pernah berkata: Ada dua pilihan utama dalam kehidupan, iaitu untuk menerima keadaan mengikut seadanya, atau mengambil tanggungjawab untuk mengubahnya.

Nampaknya anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak mahu menggoncang kestabilan, kerana mereka berpendapat hanya beliau sahaja yang mampu mengekalkan perpaduan di kalangan pemimpin-pemimpin parti komponen dalam BN Sarawak.

Kriteria itu merupakan perkara penting untuk menerajui negeri dan mesej ini jelas disuarakan oleh mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Kuching Ahad lalu, sekaligus menggambarkan kedudukan kukuh Taib dalam parti.

Menurut satu sumber parti, pemimpin-pemimpin penting PBB bimbang sekiranya Taib yang menjadi Ketua Menteri Sarawak sejak 1981 mengundurkan diri sebelum pilihan raya negeri, ia mungkin menggugat kestabilan parti dan juga BN Sarawak.

"Ramai di kalangan anggota BN Sarawak bimbang sekiranya Taib tidak cukup mantap untuk menerajui pilihan raya. Apa sahaja pendapat anda tentangnya, dia mempunyai kepimpinan uang kukuh bagi memastikan segalanya berjalan lancar semasa pilihan raya, dan jentera pilihan raya bersatu di bawah satu pentadbiran," katanya.

"Sekiranya Taib mengambil keputusan untuk berundur sekarang, bagaimana penggantinya dapat mengekalkan perpaduan dalam parti, terutama dalam menangani isu-isu seperti calon berpotensi dan permainan politik dalaman yang akan memberi kesan terhadap jentera semasa tempoh berkempen?" tambahnya.

Beliau berkata sebarang keputusan terlalu awal di pihak Taib untuk berundur ketika ini pastinya akan menggugat kestabilan parti.

Keadaan ini secara tidak langsung memberi penjelasan kepada tindakan timbalan presiden parti PBB Tan Sri Alfred Jabu yang mengumumkan bahawa 71 cawangan PBB menyuarakan ikrar taat setia kepada Taib untuk terus memimpin sebagai Ketua Menteri, Pengerusi BN Negeri dan Presiden PBB.

Katanya kepimpinan Taib amat penting dan diperlukan bagi mengekal kestabilan politik Sarawak, keamanan, keharmonian serta perpaduan yang tidak tergugat, dan kerajaan negeri memerlukan Taib untuk mengekalkan disiplin bagi memastikan kerjasama kukuh antara parti-parti komponen BN Sarawak, di samping menjanjikan prestasi yang cemerlang dan berintegriti dalam BN.

Satu lagi sumber dalaman parti berkata Taib sendiri memberi taklimat kepada anggota Majlis Tertinggi Ahad lepas mengenai rancangan bagi menggantikan tempatnya dan memberi penjelasan mengenai kontroversi yang timbul ekoran kenyataan beliau sebelum ini menegnai kesanggupannya untuk berundur.

Tidak ada anggota Majlis Tertinggi yang sanggup memberi komen mengenai rancangan itu kecuali berkata mereka memberi sokongan penuh kepada Taib untuk terus menerajui negeri dan parti.

Antara yang dilihat berpotensi menjadi pengganti Taib ketika ini selain Jabu ialah Timbalan Presiden II Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Openg, dan Naib Presiden kanan 1 Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan.

Bagaimanapun masih ada kemungkinan lain yang tidak boleh diketepikan.

Contohnya Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu yang baru dilantik sebagai penasihat khas kepada pejabat Ketua Menteri yang bertanggungjawab kepada hal ehwal awam pada 2 April lepas yang memberikan beliau setaraf dengan menteri, Datuk Seri Adenan Satem.

Pelantikan bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu sebagai penasihat khas kepada Taib turut mencetuskan cakap-cakap politik dalam arena politik negeri.

Adenan sebelum ini pernah disebut-sebut untuk menggantikan Taib, namun beliau dikatakan tidak sefahaman dengan Ketua Menteri pada tahun 2006, dan sejak itu beliau 'menghilangkan diri' buat seketika.

Sebelum ini ada beberapa pemimpin PBB yang dikatakan berpotensi untuk mengambil alih teraju kepimpinan, antaranya termasuk Allahyarham Tan Sri Sulaiman Daud, Datuk Seri Effendi Norwawi, Datuk Bujang Ulis dan Datuk Abang Abu Bakar Mustapha, bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan.

Pada tahun 2006, Taib memberi petunjuk bahawa beliau akan kekal sebagai Ketua Menteri untuk penggal semasa yang akan berakhir Jun tahun depan.

Bagaimanapun bagi pilihan raya berikutnya, ketika ini nampaknya Taib akan terus menjadi kata pemutus kepada kepimpinan negeri. - Bernama

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009