Arkib Blog

Monday, August 9, 2010

Umno BN jangan pancing undi pekerja miskin

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengingatkan Umno BN tidak menjadikan para pekerja tempatan yang miskin untuk memancing undi dalam pilihan raya.

Justeru, DPPP menegaskan bahawa Kerajaan Umno BN harus mengambil tanggungjawab penuh terhadap 442,000 pekerja tempatan memperoleh pendapatan bulanan di bawah garis kemiskinan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) berkata, laporan daripada Kementerian Sumber Manusia (KSM) itu bukan sekadar mendedahkan tetapi harus disusuli dengan pelan tindakan yang lebih berkesan.

KSM baru-baru ini mendedahkan kira-kira 442,000 orang atau 34 peratus daripada 1.3 juta pekerja tempatan memperoleh pendapatan bulanan di bawah garis kemiskinan negara.

Menterinya, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, ia berasaskan kajian oleh Perolehan Pekerjaan Nasional KSM tahun lalu menunjukkan mereka meraih gaji bulanan bawah RM700 sebulan berbanding garis kemiskinan negara iaitu RM720 sebulan.

Ini adalah kesan daripada kemasukan pekerja asing yang tidak terkawal ke dalam negara kita.

Justeru, kata Nasrudin, kerajaan sepatutnya mengambil serius perkara itu kerana dengan kemasukan pekerja asing yang tidak terkawal bukan sahaja menghadkan peluang pekerjaan di kalangan rakyat tempatan malah kegiatan jenayah juga meningkat.

“Ini juga ada kaitannya dengan kelembapan ekonomi yang turut dirasai oleh Malaysia ditambah dengan salah urus tadbir kerajaan Umno BN yang terlalu membazir dalam banyak perkara serta rasuah yang berleluasa,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, situasi itu juga menunjukkan bahawa kerajaan tidak prihatin terhadap nasib yang menimpa pekerja-pekerja tempatan kerana tiada tindakan yang khusus dibuat, selain hanya janji-janji manis menjelang pilihan raya sedangkan kerajaan seharusnya agresif membela nasib mereka.

Menurutnya, Pakatan Rakyat konsisten terhadap tuntutan bahawa gaji minimum pekerja ialah RM1,200 sedangkan kalau dilihat kerajaan Umno BN masih lagi menggunakan tarif lapuk yang sepatutnya sudah tidak relevan lagi dengan perkembangan semasa.

“Apakah RM700 sesuai digunakan ukurannya kepada penduduk yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur?” soalnya.

Sehubungan itu, ujarnya DPPP mendesak agar kerajaan Umno BN mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap isu itu supaya pekerja-pekerja tempatan terbela hak mereka, bukan hanya menggunakan kesusahan mereka sebagai pemancing undi semata-mata.

“Sekiranya masih lagi tiada apa-apa tindakan daripada kerajaan, DPPP menyeru agar pekerja-pekerja tempatan semua supaya bangkit menentang kerajaan yang hanya tahu berretorik semata-mata,” ujarnya lagi.


Sumber: Harakah Daily

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009