AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, August 17, 2010

Tajuddin Didakwa Penyebab MAS Rugi RM8 Bilion, Mengapa Tiada Tindakan Daripada SPRM?


KUALA LUMPUR 17 Ogos - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mempersoalkan bagaimana maklumat berkaitan aduan yang dibuat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kenapa tindakan tidak diambil terhadap bekas pengerusi MAS, Tan Sri Tajuddin Ramli dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis DiRaja Malaysia (JSJK PDRM) yang didakwa menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian sebanyak RM8 bilion telah bolos ke pihak yang diadu.

Sehubungan itu Salahuddin mendakwa Tajuddin mungkin dilindungi pihak tertentu menyebabkan beliau bebas daripada pendakwaan malah butiran aduan MAS kepada SPRM mengenai kerugian itu telah didedahkan kepada JSJK PDRM iaitu pihak yang diadu.

Dalam pendedahannya, Salahuddin menjelaskan terdapat dua aduan MAS berhubung perkara itu.

Aduan pertama merupakan dua repot polis bertarikh 4 Januari 2002 dan 4 Mei 2005 terhadap Tajuddin dan pegawai yang bersubahat dengannya.

Aduan kedua pula berhubung aduan MAS kepada SPRM terhadap JSJK PDRM, Jabatan Peguam Negara dan Tajuddin di mana syarikat penerbangan nasional itu dalam surat aduannya menyatakan pihaknya merasa terdapat salah laku rasuah atau penyalahgunaan kuasa sehingga kes terhadap Tajuddin tidak diambil tindakan sewajarnya.

"Yang menjadi isunya adalah apabila MAS membuat aduan itu kepada SPRM, kenapa tindakan tidak diambil terhadap Tajuddin dan juga terhadap JSJK sebaliknya SPRM telah dedahkan maklumat itu kepada JSJK PDRM.

"Sepatutnya SPRM siasat perkara itu tapi SPRM dedahkan kepada JSJK pula menyebabkan MAS rasa cemas sebab aduan didedahkan kepada pihak berkepentingan," kata Salahuddin ketika membacakan satu surat aduan daripada peguam MAS bertarikh 2 Ogos lalu.

Surat yang dialamatkan kepada Pemangku Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM, Badrul Shah Norman juga menyebut tindakan SPRM mendedahkan maklumat siasatan kepada JSJK itu bercanggah dengan peruntukan bawah Seksyen 29(4) dan Seksyen 65(2) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"SPRM kena jawab kenapa dia dedahkan laporan tersebut," kata Salahuddin lagi.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, terdapat juga dokumen lain yang menjadi asas kukuh kenapa Tajuddin terlepas daripada pendakwaan.

Kata beliau, ia merupakan sepucuk surat oleh bekas Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Ramli Yusuf yang menyarankan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengenai bentuk pendakwaan yang boleh dikenakan kepada Tajuddin.

"Apa yang membangkitkan kemusykilan dan keresahan saya adalah kemungkinan MAS telah ditipu atau diperdayakan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM8 bilion daripada tahun 1994 hingga 2001.

"Dokumen yang dikatakan sebagai surat daripada Pengarah Bahagian Siasatan Komersil PDRM kepada Perdana Menteri itu juga mencadangkan agar tindakan undang-undang diambil terhadap beberapa individu warganegara Malaysia dan juga warganegara asing.

"Kesahihan adakah dolumen itu benar merupakan surat daripada Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah PDRM kepada PM, harus disiasat dan adakah kandungan dokumen itu benar atau tidak juga harus disiasat adakah benar ia melibatkan kerugian rakyat sebanyak RM8 bilion dalam MAS?

"Jika dokumen itu benar, mengapa daripada Mac 2007 hingga sekarang mereka yang dituduh pecah amanah itu tidak di bawa ke muka pengadilan?" tegas Salahuddin lagi.

Menurut Salahuddin, beliau telah menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah yang dianggotainya supaya mengadakan mesyuarat khas tergembar bagi membincangkan kes itu.

Tambah beliau, dokumen itu akan diedarkan kepada kesemua anggota jawatankuasa khas itu.

Beliau juga sedang menimbangkan sama ada perlu membuat satu lagi laporan kepada SPRM atau pun pihak polis.

Salahuddin turut menuntut Perdana Menteri untuk mengambil tindakan tegas dalam skandal ini yang disifatkannya hampir menyamai skandal PKFZ.

"Saya khuatir risiko kewangan ini akan menjadi ibarat risiko yang ditanggung Kerajaan Malaysia dalam skandal PKFZ," ujar beliau.

Pada 13 Disember lalu, Salahuddin telah menyerahkan surat kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid meminta jawatankuasa itu menyiasat kerugian RM8 bilion dalam MAS tetapi malangnya tiada respon diterima sehingga kini meskipun perkara itu telah di bawa ke sidang Parlimen.


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009