Arkib Blog

Sunday, August 8, 2010

Serangan Bertubi Umno-BN Mantapkan Kerjasama Pakatan Rakyat, Tingkatkan Sokongan Rakyat


SHAH ALAM 8 Ogos - Usaha Umno-Barisan Nasional melancarkan serangan politik untuk menumbangkan Pakatan Rakyat merupakan langkah sia-sia dan sebaliknya asakan bertubi-tubi ke atas gagasan itu membuatkan ia bertambah kukuh dan mantap serta meningkatkan lagi sokongan dan simpati rakyat.

Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali berkata pelbagai strategi yang dilakukan Umno-BN untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat tidak sesekali melemahkan perjuangan yang didominasi KEADILAN, PAS dan DAP untuk terus mengekal dan mempertahankan sistem demokrasi yang adil dan politik bersih di negara ini.

Jelas Dr Syed, kekuatan dan pengukuhan Pakatan Rakyat juga mampu menandingi kelemahan Umno-BN meskipun ia baru ditubuhkan pada 2008.

"Mereka (Umno-BN) sudah nampak jelas masa depan mereka (yang suram), maka untuk menyelamatkan diri, mereka melakukan pelbagai strategi dengan terus menuduh Pakatan Rakyat. Ini bagi memberi gambaran Pakatan Rakyat lemah dan berpecah supaya mereka terus memerintah dengan cara yang zalim.

"Dalam perjuangan politik, kita berceramah sana sini malah dalam pilihan raya kecil kita dapati kerjasama Pakatan Rakyat kukuh. Inilah kekurangan nyata BN," kata beliau pada Majlis Makan Malam Mega Tabung Impian Rakyat Malaysia (Tiram) di Stadium Malawati di sini malam tadi.

Tambah Dr Syed pelancaran Tiram menghantar mesej jelas kepada Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Pakatan Rakyat adalah satu badan kukuh dan kuat yang boleh menjatuhkan mereka.

Beliau mendakwa Umno adalah pihak yang bertanggungjawab dalam memecahbelahkan kaum dan agama di negara ini.

Sambil merujuk beberapa contoh, Dr Syed Husin turut menjelaskan Umno menggunakan media tajaan mereka untuk menggambarkan seolah-olah pemimpin Pakatan Rakyat sering berkelahi dan tidak sependapat.

“Itu sebabnya ada beza antara hubungan PAS-DAP dan Umno-MCA,” jelas beliau yang mewakili Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Dr Syed Husin, Umno juga sanggup menggunakan institusi agama dan hubungan kaum bagi meraih sokongan serta undi daripada rakyat.

“Mereka guna agama dan perhubungan kaum untuk menyubur sikap pecah belah di kalangan Pakatan Rakyat, itu sebabnya mereka cakap tentang agama untuk mempertahankan agama tetapi mereka yang bertanggungjawab memecahbelahkan institusi Melayu.

"Umno-BN juga guna media timbulkan suasana untuk membela nasib Melayu dan sasarannya jelas adalah bekerjasama dengan PAS. Walaupun dah ditolak masih nak pujuk rayu, memang tak tahu malu," katanya.

Terdahulu, pelancaran Tiram semalam berjaya mengumpul dana berjumlah lebih RM35,000 dalam acara lelongan amal termasuk hasil sumbangan derma dan jualan tiga potret Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan hasil karikatur Zunar yang berkisarkan ketakutan Najib kepada golongan kartunis dan bapanya, Tun Abdul Razak terhadap anasir komunis.

Tiram ditubuhkan untuk membiayai penganjuran aktiviti yang boleh membentuk kesedaran dan mendidik masyarakat tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai rakyat di negara yang mengamalkan demokrasi.

Pada majlis itu, Tiram turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang menjadi mangsa tembakan sesuka hati pihak polis termasuk Aminulrasyid Amzah serta keluarga Ibrahim Libya yang terbunuh dalam peristiwa Memali pada 1985, dan keluarga mangsa mati dalam tahanan, A Kugan.

Nik Aziz tidak hadir kerana dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian petang semalam kerana kepenatan dan diwakili oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pula diwakili Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas.

Dalam ucapannya, Penasihat Tiram, Datuk Husam Musa berkata, tabung itu mampu memberikan harapan dan menyampaikan maklumat sebenar kepada rakyat dengan mempertahankan prinsip demokrasi.

“Hasrat kami adalah untuk bergerak dengan lebih efektif untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat bukan saja untuk pilihan raya umum akan datang,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menganggap program Tiram berjaya dan merupakan permulaan kepada usaha menjadikan Malaysia lebih bebas daripada amalan yang bertentangan dengan prinsip demokrasi.

“Ini merupakan usaha serius yang perlu dilakukan demi negara. Asas kita adalah prinsip keadilan yang menerangi semua,” katanya.

Turut hadir termasuk Naib Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves, Amirudin Shari dan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009