Arkib Blog

Monday, August 9, 2010

Selangor Cadang Tubuh Tabung Amanah Kampung Baru Kekalkan Pemilikan Melayu


KUALA LUMPUR 9 Ogos - Kerajaan Negeri Selangor mencadangkan penubuhan sebuah badan amanah bagi memantau pengurusan hartanah di Kampung Baru selain Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang diwujudkan kerajaan pusat melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri juga mencadangkan supaya kawasan mercu tanda kebanggaan orang Melayu yang terletak di tengah bandaraya Kuala Lumpur itu, kekal sebagai milik Bumiputera.

"Antara lain, saya telah nyatakan untuk mendapatkan pembangunan terbaik untuk Kampung Baru, semua pemilik tanah di Kampung Baru perlu bersetuju untuk membuat pembangunan bersama. Saya juga telah tunjukkan bagaimana untuk menentukan pemilikan tanah di Kampung Baru kekal dalam pemilikan Bumiputera.

"Oleh sebab itu kita cadangkan satu tabung amanah di mana unit saham tersebut dibahagikan kepada dua bentuk, satu unit pemilikan tanah dan satu lagi saham pembangunan bagi hartanah tersebut. Pembangunan tanah mengambil kira, keuntungan sewa dan boleh diurusniaga oleh semua pihak tetapi tanah hanya tertumpu kepada masyarakat di kawasan tersebut," jelas Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian pada perjumpaan dengan pewaris dan pemilik tanah Kampung Baru bagi membentangkan cadangan pembangunan semula kampung berkenaan yang ditaja bersama Pejabat Menteri Besar dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bertempat di Kelab Sultan Sulaiman petang semalam.

Menurut Abdul Khalid lagi, penubuhan badan amanah itu itu juga berupaya menyelesaikan masalah pertikaian berhubung pewarisan pemilikan tanah di kalangan penduduk kawasan berkenaan.

"Ini juga akan menyelesaikan masalah 'inheritance' oleh kerana Kampung Baru kini mempunyai generasi ke empat. Pemilikan ini jika dimasukkan dalam bentuk saham dan unit boleh dibahagikan tetapi tidak beri kesan kepada pembangunan fizikal. Jadi ia boleh dibangunkan secara menyeluruh," ujarnya.

Hadir sama dalam majlis berkenaan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali dan Roslan Baharuddin, Timbalan Pengurus Besar PKNS.

Pada Mei lalu, Kabinet meluluskan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang berfungsi sebagai perancang dan pengawal selia pembangunan kawasan itu yang dijangka bermula tahun depan manakala Rang Undang-undang mengenainya dijangka dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.

Menteri Besar berkata, isu pembangunan di Kampung Baru tidak mudah untuk diselesaikan memandangkan penduduk di kawasan Kampung Baru sendiri masih tidak pasti dengan rancangan pembangunan di kawasan berkenaan oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang dibentuk pihak kementerian.

"Rakyat di Kampung Baru masih belum mempunyai pandangan yang jelas bagaimana pembangunan ini dilakukan. Ada yang curiga samada hasilnya akan memberikan kebaikan menyeluruh untuk mereka. Ada juga yang bertanya apa akan jadi kepada mereka, jika dibangunkan dan di mana penempatan mereka. Banyak lagi soalan yang masih belum terjawab," ujarnya.

Sementara itu Dr Lo' Lo berkata, penubuhan badan amanah itu bertujuan mengelakkan konflik kepentingan dalam pengurusan hartanah dan pembangunan di kawasan tersebut.

"Dalam Parlimen saya ada bertanya apakah bahagian dalam Rancangan Malaysia ke-10 yang diperuntukkan untuk pembangunan Kampung Baru, tetapi perkara ini tidak dijawab dan mungkin saya akan buat lagi soalan lisan dalam sesi Parlimen akan datang supaya dengan itu kita lebih jelas samada akan dijalankan dalam RMK-10 atau tidak.

"Tetapi sebenarnya apa yang kita dan penduduk Kampung Baru risaukan adalah penubuhan Perbadanan Kampung Baru. Mereka bimbang nanti jika akta ini diluluskan sahaja dan orang Kampung Baru terpaksa terima," kata Dr Lo' Lo'.

Katanya, selepas pertemuan ini beliau akan terus mendapatkan maklum balas daripada penduduk terutamanya di segi penubuhan badan amanah yang dicadangkan.

"Kalau mereka bersetuju maka satu memorandum akan dibuat kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar untuk memastikan dalam pembentangan akta Perbadanan Kampung Baru (ada dimasukkan) tentang penubuhan badan amanah untuk mengelakkan konflik kepentingan pihak tertentu," ujar beliau.


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009