AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Sunday, August 22, 2010

KSSB, SPRM Setuju Tubuh Pasukan Petugas Khas


SHAH ALAM 22 Ogos - Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi membanteras rasuah melibatkan perlombongan pasir di Selangor.

Persetujuan ini dicapai pada pertemuan antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan SPRM di pejabatnya di sini, semalam.

Pertemuan ini disertai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin, Ketua Pengarah Eksekutif KSSB, Wan Ab Halim Wan Ismail, Pengarah Eksekutif KSSB, Ir Ramli Majed.

SPRM pula diwakili, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Sutinah Sultan, Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Shaharuddin Khalid, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Jaafar Maahad dan Ketua Unit Pemeriksaan dan Perundingan SPRM Selangor, Mohd Noor Abd Rahman.

Pertemuan ini diadakan susulan pelawaan Kerajaan Selangor kepada SPRM untuk menempatkan kakitangan dan pegawai di KSSB bertujuan membanteras rasuah. Pasukan Petugas Khas ini dicadang dianggotai pegawai KSSB dan SPRM.

KSSB akan mengadakan taklimat mengenai operasi KSSB kepada SPRM termasuk prosedur dan kaedah-kaedah yang dipratikkan dalam perlombongan pasir.

Selain itu, SPRM juga akan didedahkan dengan sistem-sistem yang diguna pakai oleh KSSB dan diajar untuk memahami urus niaga pasir yang dipratikkan oleh anak syarikat kerajaan Selangor ini.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Selangor menyambut baik kesediaan SPRM kerana kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab.

“Kita berterimakasih kepada SPRM kerana mahu bersama Kerajaan Negeri bagi memastikan operasi perlombongan dan perniagaan pasir bebas dari unsur rasuah,” kata Menteri Besar dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, apabila Pasukan Petugas Khas ini ditubuhkan, SPRM lebih bebas untuk memantau perjalanan operasi KSSB untuk mengesan sekiranya ada prosedur yang boleh membuka ruang kepada rasuah.

Pada pertemuan ini juga, Abdul Khalid telah diberitahu bahawa SPRM sedang memantau lebih dekat operasi perlombongan pasir di beberapa negeri termasuk di Selangor.

Selain itu, SPRM berharap dapat membuat perbandingan prosedur dan praktis yang digunakan pakai di Selangor dengan negeri-negeri lain.

Beliau berharap, SPRM boleh mencadangkan prosedur yang boleh mengurangkan berlakunya rasuah menerusi pemantauan dan pemerhatian yang dilakukan terhadap KSSB.

Pada awal pertemuan, Abdul Khalid telah menyampaikan taklimat kepada SPRM berkenaan keselamatan dan penguatkuasaan yang diambil Kerajaan Negeri menerusi Pasukan Khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud.

Beliau telah menerangkan bahawa kecurian pasir gagal diatasi oleh kerajaan terdahulu kerana hanya menumpukan kepada tindakan penguatkuasaan tanpa melihat masalah tersebut dari aspek bekalan pasir kepada industri pembinaan.

"Kita tidak boleh menghentikan perlombongan pasir dan biarkan bekalan pasir di pasaran terjejas. Ini hanya akan menggalakkan kecurian pasir kerana permintaan tinggi.

“Tindakan kita sekarang ialah kita bukan sahaja membanteras curi pasir tetapi pada masa yang sama mengawal bekalan pasir pasaran,” katanya.

Katanya, sebab itulah Kerajaan Selangor menubuhkan KSSB untuk memastikan industri mendapat bekalan pasir secara halal dan mencukupi dan ini akan membunuh permintaan terhadap pasir haram.

Menteri Besar menjelaskan, KSSB ditadbir Wan Halim dan Ramli yang mana kedua-duanya adalah pakar bidang kejuruteraan perlombongan yang akan memastikan perlombongan pasir mengikuti semua peraturan alam sekitar dan geologi yang ditetapkan.


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009